KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Malaysia dan Mesir komited untuk memperkukuh kerjasama dalam bidang pertahanan dan keselamatan melalui dialog tetap, perkongsian maklumat, latihan bersama, serta menangani jenayah rentas sempadan seperti ancaman keselamatan siber dan penipuan mata wang kripto.
Dalam satu kenyataan bersama sempena lawatan rasmi Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim ke negara itu, Anwar dan Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi mengiktiraf hubungan pertahanan dan keselamatan yang kukuh dan telah lama terjalin antara kedua-dua negara.
“Kedua-dua pihak bersetuju mengenai keperluan melaksanakan langkah-langkah yang perlu bagi memperluas dan meningkatkan kerjasama dalam bidang ini.
“Ini termasuk, antara lain, dialog dan rundingan berkala, perkongsian maklumat, latihan bersama, inisiatif memerangi keganasan serta menangani jenayah rentas sempadan seperti ancaman keselamatan siber dan penipuan mata wang kripto,” menurut kenyataan itu.
Penubuhan Pejabat Atase Pertahanan di Kaherah pada Mei lalu menegaskan komitmen Malaysia dalam memperkukuh kerjasama dan usaha berterusan untuk mempertingkatkan lagi hubungan pertahanan dengan Mesir, menurut kenyataan itu.
Anwar tiba di Kaherah pada Ahad untuk lawatan rasmi selama empat hari atas jemputan Presiden Mesir Abdel Fattah El-Sisi.
Ini merupakan lawatan kedua Anwar ke Mesir sebagai Perdana Menteri.
Pada Ahad, Anwar mengadakan kunjungan hormat ke atas El-Sisi dan mereka mengadakan pertemuan sebelum mesyuarat dua hala.
Kedua-dua pemimpin berbincang mengenai hubungan dua hala serta bertukar pandangan mengenai isu global yang mendesak.
Memanfaatkan fasa baharu persahabatan dan kerjasama yang lebih erat, Anwar dan El-Sisi bersetuju untuk meningkatkan hubungan dua hala ke tahap perkongsian strategik dalam masa terdekat, yang berfungsi menjadi pemangkin kepada kemajuan dan pembangunan serta memperkukuh sinergi dalam usaha mencipta dunia yang stabil, adil dan saksama.
Kedua-dua pemimpin turut mengiktiraf potensi ekonomi masing-masing dan yakin terhadap pertumbuhan berterusan nilai perdagangan serta aktiviti pelaburan dua hala.
“Para pemimpin menekankan bahawa hubungan perdagangan dan pelaburan yang komprehensif dan berdaya tahan antara Malaysia dan Mesir adalah berdasarkan kepentingan bersama dalam perdagangan bebas, adil, dan terbuka.
“Mereka juga bersetuju bahawa Perjanjian Perdagangan Bebas ASEAN dan Pasaran Bersama bagi Timur dan Selatan Afrika (COMESA) akan terus memberikan manfaat kepada kedua-dua negara,” menurut kenyataan itu.
Sementara itu, kedua-dua pemimpin turut menekankan kepentingan mengekalkan serta memperkukuh kerjasama dalam pendidikan tinggi dan latihan.
“Dalam hal ini, Malaysia menghargai keprihatinan Mesir dalam menawarkan peluang biasiswa kepada pelajar Malaysia untuk melanjutkan pengajian di institusi pengajian tinggi di Mesir.
“Kedua-dua pemimpin juga membincangkan usaha untuk mempelbagaikan kerjasama antara kementerian masing-masing dalam menangani isu-isu dan memajukan perjanjian yang saling menguntungkan,” tambah kenyataan itu.
Dalam aspek pertukaran budaya, Anwar dan El-Sisi bersetuju bahawa Malaysia dan Mesir akan terus menjadi destinasi popular bagi pelajar dan pakar untuk memperluas kajian dan penyelidikan berkaitan budaya, serta bekerjasama mengekalkan momentum kerjasama yang positif.
Mereka turut mengakui manfaat pertukaran budaya dalam memupuk persahabatan dan mempererat hubungan antara rakyat kedua-dua negara.
Sementara itu, kedua-dua pemimpin menegaskan komitmen mereka untuk meningkatkan usaha menangani isu perubahan iklim, dengan bersetuju mengambil pendekatan seimbang antara cita-cita iklim dan pembangunan mampan.
Dalam mewujudkan rangka kerja penting untuk memulakan dan melaksanakan kerjasama yang lebih dinamik dan aktif dalam pelbagai bidang, Malaysia dan Mesir berharap dapat mempercepatkan pemeteraian beberapa Memorandum Persefahaman (MoU) dan perjanjian yang tertangguh.
Semasa lawatan itu, Anwar dan El-Sisi menyaksikan majlis menandatangani dan pertukaran MoU antara Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM) dan Kementerian Wakaf Mesir dalam bidang hal ehwal Islam.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial