AM

Jenazah Wartawan Veteran Rosnah Abd Majid Selamat Dikebumikan

11/11/2024 12:39 PM

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Jenazah wartawan veteran dan bekas ahli politik Datuk Rosnah Abd Majid, 71, selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Klang Gate, di sini pada 10 pagi ini.

Terdahulu, jenazah dibawa ke Masjid Al-Mardhiyah, Taman Melawati pada 8 pagi untuk disembahyangkan.

Lebih 100 orang terdiri daripada ahli keluarga, sanak saudara, kenalan dan rakan wartawan hadir memberi penghormatan terakhir.

Jenazah Allahyarham kemudian dibawa ke tanah perkuburan kira-kira 9.35 pagi untuk pengebumian.

Allahyarham Rosnah yang pernah bertugas di akhbar Utusan Malaysia selama 20 tahun sejak 1977, meninggal dunia di rumah kakaknya di Teluk Bahang, Pulau Pinang pada 9.30 pagi semalam.

Allahyarham yang dilahirkan pada 1953 di Sungai Pial, Merbok, Kedah merupakan pemenang pertama Anugerah Kajai pada 1984.

Rosnah juga pernah menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) bagi kawasan Tanjung Dawai selepas menewaskan calon PAS dalam Pilihan Raya Umum ke-10 pada 1999 dan pernah menyandang jawatan Ketua Jawatankuasa Perhubungan Wanita UMNO Negeri Kedah bagi penggal 2000/2003.

Beliau turut dilantik sebagai Profesor Adjung di Fakulti Komunikasi dan Bahasa Moden Universiti Utara Malaysia selama setahun pada 2007.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan