KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Ketua jurulatih pasukan bola sepak kebangsaan Pau Marti Vicente menyifatkan perlawanan persahabatan antarabangsa Tier 1 menentang Laos dan India bakal menjadi tonik terbaik anak buahnya mengharungi dua kejohanan berbeza.
Beliau berkata kedua-dua pasukan berkenaan akan memberikan pengalaman berguna kepada skuad negara menghadapi saingan Piala ASEAN pada Disember ini, dan pusingan ketiga Kelayakan Piala Asia 2027 tahun hadapan.
“Ini adalah peluang terbaik kami untuk bermain dalam dua perlawanan dengan dua pendekatan berbeza. Kami akan menggunakan perlawanan menentang Laos sebagai persiapan Piala ASEAN, manakala India menghadapi Kelayakan Piala Asia 2027.
“Saya menjangkakan dua perlawanan sukar di tempat lawan (persahabatan menentang Laos dan India), tetapi ia bagus untuk kami, dan kami banyak belajar daripada dua perlawanan sebelum ini (persahabatan) di New Zealand,” katanya kepada pemberita pada sesi latihan rasmi Harimau Malaya di Wisma Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Kelana Jaya semalam.
Malaysia menghuni tangga ke-133 dalam ranking dunia, manakala India dan Laos masing-masing di kedudukan ke-125 dan ke-187.
Pada masa sama, Pau Marti berkata beliau akan menggunakan pendekatan baharu pada perlawanan berkenaan dalam usaha memperoleh keputusan terbaik bagi memperbaiki rekod kemenangan Harimau Malaya di gelanggang lawan.
Kali terakhir Malaysia bertemu Laos adalah pada Piala AFF 2022 dengan kemenangan 5-0 pada peringkat kumpulan di Stadium Nasional Bukit Jalil di sini dan menewaskan India 4-2 pada saingan Pestabola Merdeka 2023.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial