AM

Tanpa Pelaburan Dalam Sains, Teknologi, Matematik Dunia Islam Berisiko Ketinggalan - PM Anwar

11/11/2024 02:52 PM

Daripada Nashir Mansor

KAHERAH, 11 Nov (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim mengingatkan dunia Islam bahawa mereka berisiko untuk terus ketinggalan tanpa pelaburan yang mantap dan berterusan dalam pendidikan sains, teknologi, kejuruteraan dan matematik (STEM).

Beliau berkata sehubungan itu adalah penting bagi dunia Islam mengukuhkan pendidikan STEM dari tahun-tahun awal pendidikan, di samping meningkatkan pelaburan dalam penyelidikan dan pembangunan dengan hebat, serta mengutamakan bidang transformatif seperti bioteknologi, sains kimia dan teknologi maklumat.

“Sektor-sektor ini penting bukan sahaja kepada pertumbuhan ekonomi, tetapi juga untuk menangani isu-isu mendesak - daripada krisis penjagaan kesihatan kepada kemerosotan alam sekitar - yang tidak boleh menunggu penyelesaian hari esok.

“Ekonomi digital menimbulkan satu lagi cabaran mendesak. Apabila dunia semakin saling berhubung, dunia Islam perlu mengutamakan pelaburan dalam keselamatan siber, infrastruktur digital dan kemahiran ICT.

“Kita perlu wujudkan rangka kerja keselamatan siber yang kukuh, membina infrastruktur digital yang berdaya tahan, dan memastikan generasi akan datang bersedia untuk mengemudi dan membentuk landskap digital yang berkembang pesat,” katanya ketika menyampaikan syarahan awam bertajuk “Stronger Together: A Vision For The Muslim Ummah Through Tech, Social and Economic Empowerment” di Universiti Al-Azhar di sini semalam.

Turut hadir pada sesi itu ialah Imam Besar Al-Azhar Al-Sharif Shaikh Prof Dr Ahmad Muhammad Ahmad At-Tayyeb, Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan dan Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz dan Duta Besar Malaysia ke Mesir Datuk Mohd Tarid Sufian.

Anwar berkata tidak kurang pentignya adalah keperluan untuk kerjasama berskala besar, transnasional dalam sains di samping usaha sama dalam bidang penerokaan angkasa lepas, astronomi, sains marin, dan pengkomputeran berprestasi tinggi dalam kalangan dunia Islam, kerana bidang itu bukan lagi satu kemewahan, sebaliknya ia adalah keperluan.

“Projek-projek ini menawarkan negara kita peluang untuk membangunkan teknologi termaju, meningkatkan keselamatan ekonomi, dan mempamerkan kuasa Ummah yang bersatu,” katanya.

Sementara itu Anwar juga mengingatkan dunia Islam agar tidak melupakan peranan tradisional yang dimainkan oleh Azhar Al-Sharif sebagai pusat reformasi, benteng ilmu dan pemikiran kreatif, malah lebih penting lagi, pembela ummah menentang serangan penjajah sambil memelihara dan menyuburkan identiti Islam Ummah.

Beliau berkata Al-Azhar Al-Sharif telah membuat sumbangan besar kepada dunia Islam, dan umat Islam di Kepulauan Melayu khususnya mendapat manfaat yang besar daripada universiti dengan graduannya sentiasa hebat dalam mempertahankan akidah, ilmu, serta menanamkan semangat dan intipati Islam dalam komuniti mereka.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan