AM

177 Keluarga Di Kampung Manis Pulau Pinang Bakal Terima Rumah Percuma - Loke

11/11/2024 05:16 PM

SEBERANG PERAI, 11 Nov (Bernama) -- Sebanyak 177 keluarga kawasan setinggan Kampung Manis, Perai yang menduduki tanah kereta api milik Perbadanan Aset Keretapi (RAC) akan menerima rumah mampu milik yang dikenali sebagai MADANI Residences secara percuma dalam tempoh tiga tahun.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata kediaman yang ditawarkan itu adalah sebahagian daripada 338 unit kediaman mampu milik yang akan dibina di bawah Fasa 1A pembangunan oleh pemaju Rivanis Ventures Sdn Bhd di kawasan berkenaan.

"Mengikut perancangan, pembinaan rumah mampu milik ini berkeluasan 850 kaki persegi yang bernilai lingkungan RM400,000 turut dilengkapi dengan kemudahan tiga bilik tidur dan dua bilik air. Pembinaannya akan bermula pada akhir tahun hadapan dan dijangka siap dalam tempoh 36 bulan," katanya.

Beliau berkata demikian pada Majlis Menandatangani Memorandum of Agreement (MoA) antara RAC dengan Lembaga Perumahan Negeri Pulau Pinang (LPNPP) dan Majlis Menandatangani Head of Agreement (HOA) antara RAC dan Rivanis Ventures bagi pembangunan di atas sebahagian Lot 286, Lot 65 dan Lot 67 Bandar Perai atau lebih dikenali sebagai Kampung Manis di sini.

Loke menjelaskan pemberian rumah berkenaan juga selaras dengan polisi Kerajaan Negeri Pulau Pinang agar memberikan pampasan kepada penduduk yang terkesan akibat pembangunan semula kawasan dilaksanakan.

Beliau juga memberi jaminan bahawa penduduk di Kampung Manis yang terlibat juga tidak akan terjejas dengan projek pembinaan yang akan dilaksanakan, sebaliknya boleh kekal tinggal di rumah masing-masing sehingga projek berkenaan siap kelak dengan hanya terdapat beberapa unit yang perlu dikosongkan.

Loke memaklumkan sejak 2012, langkah membangunkan tanah-tanah kereta api menjadi kawasan yang membangun dan berkepadatan tinggi adalah tidak asing lagi, malah bagi tanah yang bersebelahan dengan stesen kereta api, konsep pembangunan berasaskan transit menjadi tumpuan RAC dalam setiap perancangannya.

Pembinaan MADANI Residences di bawah Fasa 1A di tapak seluas 2.09 ekar itu dijangka bermula pada akhir tahun hadapan dan hasil bancian ulangan yang dilaksanakan pada April lepas, RAC telah mengenal pasti 177 struktur setinggan yang didiami oleh penduduk berstatus warganegara.

Tapak keseluruhan Kampung Manis seluas 55.705 ekar itu selepas ini akan dikenali sebagai Rivanis dan pihak pemaju akan merealisasikan pembangunan di kawasan berkenaan melalui dua parcel dengan parcel pertama seluas 36.025 ekar akan dibangunkan terlebih dahulu dalam tujuh tahun secara berperingkat.

Terdahulu, MoA ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif RAC Datuk Azhar Ahmad dan Ketua Pegawai Bisnes LPNPP Fakhurrazi Ibnu Omar, manakala HOA antara RAC dan Rivanis Ventures diwakili Azhar Ahmad dan Pengarah Rivanis Venture Datuk Seri Nazir Ariff Mushir Ariff bagi pembangunan tanah-tanah hak milik RAC di atas sebahagian lot yang dikenali sebagai Kampung Manis.

Ia disaksikan Loke; Ketua Menteri Chow Kon Yeow; Menteri Sumber Manusia Steven Sim Chee Keong; Exco Perumahan dan Alam Sekitar Negeri Datuk Seri S.Sundarajoo yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perai dan bekas ketua menteri Pulau Pinang Lim Guan Eng.

Sebelum ini, media melaporkan lebih 200 keluarga di Kampung Manis bakal diusir selepas mereka menerima notis mengosongkan tanah daripada RAC.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan