AM

Sudan Harap Malaysia Mainkan Peranan Dalam Proses Keamanan, Pembangunan Negara - Duta

11/11/2024 07:35 PM

Oleh Rohani Ibrahim

KUALA LUMPUR, 11 Nov (Bernama) -- Sudan menggesa Malaysia, sebagai negara sahabat dan sebuah negara Islam terkemuka untuk memainkan peranan dalam proses keamanan dan kestabilan negara itu, kata Duta Sudan ke Malaysia, Hassan Abdelsalam Omer.

Beliau berkata Sudan turut berharap Malaysia dapat memainkan peranan strategik dalam proses pembinaan semula negaranya.

“Saya bercadang untuk membangkitkan perkara ini dengan pegawai di Bahagian Afrika Kementerian Luar Malaysia minggu hadapan,” katanya kepada pemberita di Kedutaan Sudan di sini, pada Isnin.

Menurut Omer, Sudan dan Malaysia mempunyai hubungan persahabatan yang erat. Hubungan diplomatik antara Kuala Lumpur dan Khartoum telah terjalin sejak 1990 dengan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) memainkan peranan penting dalam industri minyak Sudan sejak 1995.

Laporan media sebelum ini menyatakan bahawa Petronas beroperasi di Sudan Selatan melalui anak syarikatnya, Petronas Carigali Nile Ltd (PCNL), sejak 2011 sebelum mengumumkan penarikan diri daripada operasinya pada Ogos tahun ini.

Duta itu berkata kini terdapat kira-kira 3,000 warga Sudan di Malaysia, dengan sekitar 1,800 daripadanya merupakan pelajar, menjadikan Malaysia destinasi pilihan untuk pendidikan.

Mengulas mengenai situasi semasa di Sudan, Omer berkata Kerajaan Sudan mendesak komuniti antarabangsa dan negara-negara sahabat untuk secara rasmi menamakan Pasukan Sokongan Pantas (RSF) sebagai organisasi pengganas, mengutuk tindakan mereka secara tegas, serta memastikan militia dan penaja mereka bertanggungjawab atas jenayah mereka.

“Kami juga menuntut semua penyokong asing RSF segera menghentikan bekalan senjata dan sokongan kewangan untuk aktiviti tentera upahan di Sudan,” katanya lagi.

Beliau menegaskan bahawa sikap tidak peduli dan membisu komuniti antarabangsa hanya akan menggalakkan RSF dan penaja serantau mereka, membiarkan mereka terus melakukan pembunuhan beramai-ramai dan genosid terhadap penduduk awam Sudan sewenang-wenangnya, tanpa menghiraukan nyawa manusia serta undang-undang antarabangsa.

Sejak 20 Oktober, lebih 40 bandar dan kampung di seluruh wilayah Timur Al-Jazirah dan Al-Butana mengalami serangan balas kejam dan keganasan meluas oleh militia Janjaweed RSF, katanya.

Keganasan itu telah mengakibatkan ratusan kematian, dengan majoriti mangsa terdiri daripada wanita dan kanak-kanak, katanya.

Pada Ogos tahun ini, Malaysia menganjurkan persidangan "Sudan - Perang yang Dilupakan" yang mana Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan menekankan cabaran kemanusiaan serius dan kurang dilaporkan yang dihadapi Sudan, menegaskan keperluan untuk tindakan segera global.

Krisis kemanusiaan Sudan telah menyebabkan lebih 11 juta orang kehilangan tempat tinggal di dalam negara dan 18 juta orang, atau 37 peratus daripada populasi, menghadapi kelaparan teruk, seperti yang diberitahu persidangan itu.

Malaysia secara konsisten menyokong proses keamanan Sudan dan pembangunan negara itu melalui platform antarabangsa seperti Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) dan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

Usaha kemanusiaan Malaysia di Sudan termasuk membantu pelarian Darfur, menawarkan biasiswa kepada pelajar Sudan, dan menyediakan latihan teknikal melalui Program Kerjasama Teknikal Malaysia.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan