DUNIA

Pihak Berkuasa Indonesia Sekat Lima Rakyatnya Disyaki Terlibat Dalam Perdagangan Organ

11/11/2024 08:24 PM

Oleh Mohd Iswandi Kasan Anuar

JAKARTA, 11 Nov (Bernama) -- Imigresen Indonesia di Lapangan Terbang Juanda, Surabaya, Jawa Timur, pada Sabtu menghalang lima rakyatnya daripada menaiki penerbangan ke India, disyaki cuba untuk menjual organ mereka.

Semasa pemeriksaan rutin, seorang individu mendakwa dia sedang dalam perjalanan untuk rawatan perubatan tetapi gagal memberikan butiran lanjut. Pemeriksaan ke atas dokumen dan komunikasi beliau mendedahkan kaitan dengan skim pemindahan buah pinggang haram.

Ketua Pejabat Imigresen Kelas 1 Surabaya, Ramdhani, dalam satu kenyataan pada Isnin berkata lelaki berkenaan pada mulanya mendakwa mahu ke India untuk rawatan isteri, namun siasatan lanjut mendedahkan motif berbeza.

“Kami menemui kaitan dengan pemindahan organ haram dan mendapati ini bukan kes terpencil,” katanya, sambil menambah bahawa empat individu lain turut terlibat dalam aktiviti yang serupa.

Akibatnya, kelima-lima individu terlibat dilarang menaiki penerbangan mereka, dan siasatan lanjut mendedahkan bukti kewujudan rangkaian teratur yang berkemungkinan terlibat dalam aktiviti penjualan organ secara haram.

“Mereka mempunyai hubungan dengan penderma, orang tengah, dan menggunakan platform dalam talian untuk mengatur transaksi haram ini,” kata Ramdhani.

Pihak berkuasa memulakan siasatan penuh, termasuk semakan terhadap sejarah perjalanan suspek, dalam usaha untuk mencegah perdagangan manusia dan melindungi sempadan Indonesia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan