AM

DUN Sarawak Lulus Pindaan Rang Undang-undang Kawal Selia Pengagihan Hidrogen

11/11/2024 09:29 PM

KUCHING, 11 Nov (Bernama) -- Dewan Undangan Negeri (DUN) Sarawak sebulat suara meluluskan Rang Undang-Undang Pengagihan Gas (Pindaan) 2024, sekali gus mewujudkan rangka kerja undang-undang bagi mengawal selia pengagihan hidrogen di negeri itu.

Keputusan itu dicapai melalui undian majoriti selepas sesi perbahasan yang melibatkan penyertaan 22 Ahli Dewan Undangan Negeri.

Menteri Utiliti dan Telekomunikasi Sarawak Datuk Seri Julaihi Narawi, menjelaskan bahawa pindaan tersebut memperluaskan takrifan "gas" dalam Ordinan Induk untuk merangkumi hidrogen.

"Rang Undang-Undang Pindaan ini memasukkan peruntukan baharu di bawah Bahagian IVA (ke dalam Ordinan Pengagihan Gas) bagi mengawal selia aktiviti berkaitan hidrogen secara khusus," katanya merujuk kepada penyertaan hidrogen dalam kerangka undang-undang pengedaran gas.

Pindaan tersebut turut memperkenalkan kesalahan dan penalti baharu bagi aktiviti berkaitan hidrogen tanpa lesen, termasuk penjanaan, penyimpanan, dan pengagihan.

Tindakan tidak sah boleh dikenakan penalti berupa denda yang besar hingga hukuman penjara, sementara kesalahan berulang boleh dikenakan denda sehingga 10 kali ganda daripada denda asal.

Antara hukuman termasuk denda kewangan yang boleh mencecah sehingga RM20 juta, yang akan dikutip sebagai hutang sivil dan disalurkan ke Tabung Disatukan Negeri.

Julaihi menegaskan bahawa pindaan ini mengukuhkan Ordinan Sarawak bagi menyokong peralihan negeri itu ke arah tenaga bersih, di samping memudahkan pembangunan, penjanaan, dan pengagihan hidrogen, selaras dengan usaha Sarawak untuk berada di barisan hadapan sektor tenaga hijau.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan