PETALING JAYA, 11 Nov (Bernama) -- Sunway Healthcare Group (SHG) hari ini melancarkan kempen KNOW Diabetes yang berlangsung sehingga 30 Nov ini dalam hasrat mendekati masyarakat, meningkatkan kesedaran, dan mendidik rakyat Malaysia mengenai kesan penyakit tidak berjangkit (NCD) itu.
Kempen sempena Hari Diabetes Sedunia 2024 dengan mesej ‘Prevention is Power’ itu memfokuskan kepada pendidikan berkaitan pemakanan dan bagaimana pelarasan diet mudah dengan penekanan kepada makanan berkhasiat boleh mengurangkan risiko diabetes dengan ketara.
Pengarah Urusan (Operasi Hospital dan Penjagaan Kesihatan) SHG Dr Khoo Chow Huat berkata kempen tahun ini menampilkan reruai 'Sweet Deception' yang meriah di lobi Pusat Perubatan Sunway.
“Melalui reruai tersebut kami berharap dapat menampilkan pendekatan yang menyeronokkan untuk mendidik pengunjung, sama ada muda dan tua mengenai diabetes, supaya semua orang akan lebih memahami penyakit itu dan boleh menguruskannya dengan lebih berkesan,” katanya semasa berucap di majlis pelancaran kempen tersebut di sini hari ini.
Beliau menambah bahawa inisiatif itu amat penting dan tepat pada masanya, kerana Kajian Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan 2023 Kementerian Kesihatan melaporkan bahawa 15.6 peratus orang dewasa, atau kira-kira satu daripada setiap enam orang, menghidap diabetes; dengan 84 peratus dewasa berumur 18 hingga 29 tahun tidak menyedari mengenai penyakit yang dihidapi.
Dr Khoo berkata pencegahan dan pengurusan diabetes tidak boleh dirawat di peringkat fizikal semata-mata.
“Ia memerlukan pendekatan holistik dengan mengambil kira aspek lain seperti kesihatan mental, faktor ekonomi, tingkah laku psikososial dan usaha komuniti,” katanya.
Kempen serentak di hospital Pusat Perubatan Sunway lain di Velocity KL, Pulau Pinang dan Damansara, Selangor itu diadakan sebagai susulan kepada satu kaji selidik di seluruh negara oleh SHG dengan kerjasama portal berita tempatan cilisos.my bulan lepas ke atas lebih 1,000 individu bagi mendapatkan pandangan dalam usaha menyekat peningkatan kelaziman diabetes.
Kaji selidik itu mendedahkan bahawa walaupun lebih 80 peratus responden bimbang menghidap diabetis, mereka juga menunjukkan kebimbangan sosial dan faktor psikososial lain yang sebahagian besarnya menghalang pemakanan sihat.
Sementara itu presiden SHG Datuk Lau Beng Long berkata diabetes dan komplikasinya bukan sahaja menjejaskan beribu-ribu rakyat Malaysia dan memberi kesan teruk kepada kesihatan, kualiti hidup dan perhubungan mereka, malah ia juga memberi beban besar kepada kesihatan awam dan pembangunan sosioekonomi.
Beliau berkata sehubungan itu KNOW Diabetes berhasrat untuk mendidik orang ramai mengenai satu faktor utama diabetes, iaitu makanan dan bagaimana ia memberi kesan besar kepada risiko menghidap diabetes.
“SHG berhasrat untuk mengekalkan komitmen kami untuk menjaga kesihatan dan kesejahteraan semua rakyat Malaysia serta mematuhi tema 2024 Pertubuhan Kesihatan Sedunia iaitu 'Memperkasa Kesihatan Global'.
“Kami berhasrat untuk mencapainya dengan mengukuhkan kedudukan kami sebagai kumpulan yang menyumbang kembali kepada masyarakat melalui kemudahan kesihatan yang baik dan dengan meningkatkan kesedaran serta pencerahan orang ramai mengenai bahaya diabetes,” katanya.
Program holistik KNOW Diabetes menggabungkan pengaktifan di lapangan di semua hospital SHG, penglibatan media dan kandungan media sosial, yang menampilkan kalkulator risiko di https://diabetes.sunwaymedical.com/ yang membolehkan individu mengetahui risiko mereka menghidapi diabetes Type 2 dalam tempoh lima tahun akan datang.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial