AM

NHRA Saran Manfaat Kuarters Kerajaan Terbiar Sebagai Rumah Mampu Sewa

12/11/2024 02:39 PM

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Pertubuhan Sewaan Kediaman Kebangsaan (NHRA) mencadangkan agar kerajaan memanfaatkan bangunan atau kuarters kerajaan yang terbiar dengan membaik pulih dan menyewakannya kepada golongan berpendapatan rendah.

Pengerusinya Prakash P. Kalivanan berkata bangunan milik kerajaan yang terbiar boleh disewakan dengan kadar yang berpatutan bagi membantu golongan miskin bandar yang tidak mampu menyewa rumah dengan kadar sewaan yang tinggi. 

Beliau turut mencadangkan kerajaan untuk memperkenalkan rumah berkonsepkan “mampu sewa” yang disesuaikan mengikut kategori pendapatan terutama bagi golongan B40 dan M40.

“Sekiranya kerajaan tidak mempunyai peruntukan untuk membaik pulih bangunan atau kuarters kerajaan yang telah rosak, kos pembaikian itu boleh ditanggung oleh penyewa rumah melalui potongan sewaan. 

“Pertubuhan kami (NHRA) juga bersedia membantu dalam pengurusan baik pulih dan sewaan ini sekiranya diberikan mandat oleh pihak berkuasa,” katanya kepada Bernama baru-baru ini. 

Prakash berkata penetapan kadar sewaan mampu milik itu sebagai satu usaha untuk membantu masyarakat yang kurang berkemampuan dan bukannya untuk mengaut keuntungan daripada golongan terbabit.

Beliau berkata strategi serampang dua mata itu bukan sahaja dapat mengelak kuarters kerajaan daripada terus terbiar, tetapi juga memberi manfaat kepada mereka yang benar-benar memerlukan perumahan di kawasan ekonomi utama seperti bandar-bandar besar, di samping membolehkan kerajaan memperoleh hasil daripada sewaan tersebut. 

“Ahli parlimen dan pihak berkuasa tempatan perlu memainkan peranan dalam mengenal pasti bangunan terbiar dalam kawasan masing-masing yang boleh ditukarkan kepada perumahan mampu sewa. Hal ini juga dapat mencegah kewujudan bandar terbiar,” katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan