DUNIA

Ubat Selesema Punca PM Jepun Dilihat Terlelap Di Parlimen – Jurucakap Kerajaan

12/11/2024 04:02 PM

TOKYO, 12 Nov (Bernama-Kyodo) -- Ubat selesema menjadi punca Perdana Menteri Jepun Shigeru Ishiba dilihat tertidur seketika semasa sesi Parlimen pada Isnin, lapor Agensi Berita Kyodo memetik kenyataan jurucakap utama kerajaan.

Dalam sidang media selepas sesi pleno Dewan Perwakilan yang menyaksikan Ishiba dipilih sebagai perdana menteri, Ketua Setiausaha Kabinet Yoshimasa Hayashi turut menolak spekulasi bahawa pemimpin berusia 67 tahun itu jatuh sakit akibat keletihan.

“Perdana menteri sangat sibuk setiap hari, bekerja hingga lewat malam dan saya difahamkan beliau kurang sihat dan mengambil ubat selesema.

“Setahu saya, tiada sebarang isu berkaitan kesihatannya,” kata Hayashi.

Selepas rakaman video menunjukkan Ishiba tunduk dan seolah-olah memejamkan mata sebentar semasa menunggu keputusan undian dalam sesi Diet dimuat naik ke media sosial, pengguna dengan pantas memberi pelbagai reaksi termasuk kenyataan seperti, “Saya tak percaya beliau boleh tidur seperti itu.”

Parti Demokratik Liberal Ishiba dan gabungannya hilang majoriti dalam pilihan raya umum pada 27 Okt lalu, memaksa perdana menteri itu mengetuai kerajaan minoriti yang dijangka berdepan cabaran dalam melaksanakan dasar utama termasuk pembentangan belanjawan.

-- BERNAMA-KYODO


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan