JENAYAH & MAHKAMAH

Penceramah Motivasi Dakwa Diugut, Dikasari Pegawai Kaunseling ATM

12/11/2024 10:45 PM

KUALA LUMPUR, 12 Nov (Bernama) -- Seorang penceramah yang juga pesara pegawai Angkatan Tentera Malaysia (ATM) membuat laporan polis selepas mendakwa diugut dan dikasari pegawai ATM pada satu program ceramah motivasi di Dewan Tun Templer, Kem Sungai Besi, di sini pada Jumaat lepas.

Mejar (B) Mohamad Qayyum Badaruddin, 56, mendakwa beliau telah dilemparkan dengan kata-kata kesat dan dikasari oleh seorang pegawai yang juga kaunselor, dipercayai dari Unit Kaunseling Markas ATM ketika hendak memberi ceramah kepada pegawai kadet Akademi Latihan Ketenteraan (ALK), Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM). 

“Sepatutnya sesi saya bermula 4 petang namun pegawai ini bertindak mengambil lebih masa hingga 4.20 petang. Saya telah bertanya bila sesinya akan habis, kerana saya perlu bergegas ke tempat lain. 

“Pegawai tersebut telah menjawab ‘sibuk kau ni, aku tumbuk nanti. Tak puas hati, jom settle luar’ (Tak puas hati, jom selesai luar) padahal jawapannya itu tiada kena mengena dengan pertanyaan saya. Dia telah bertindak merangkul leher saya dan mengheret saya ke tepi sambil disaksikan lebih 200 pegawai kadet dan anggota tentera lain,” katanya ketika ditemui pemberita di Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Cheras, hari ini. 

Mohamad Qayyum berkata pegawai terbabit juga telah mengugut untuk menumbuknya sambil menambah beliau tidak perlu dihormati kerana bukan lagi seorang pegawai tentera. 

“Walaupun saya bukan lagi pegawai tentera namun saya penceramah yang telah dijemput, tidak sepatutnya dia layan saya seperti itu. 

“Saya mahu dia membuat permohonan maaf kerana saya mewakili puluhan ribu veteran. Kami tidak perlu dilayan sebegini kerana kami juga telah berjasa dan hingga hari ini, saya masih menyumbang bakti untuk menaikkan imej tentera dengan memberi ceramah dan menulis buku berkaitan ketenteraan kita,” katanya. 

Mohammad Qayyum berkata sejak kejadian itu, beliau masih belum dihubungi atau menerima sebarang bentuk permohonan maaf dari pegawai berkenaan mahupun pegawai ATM yang lain. 

Sementara itu, Ketua Polis Daerah Cheras ACP Aidil Bolhassan ketika dihubungi Bernama mengesahkan menerima laporan mengenai kejadian berkenaan hari ini dan kes masih dalam siasatan. 

-- BERNAMA


 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan