AM

Cadangan Tempatkan Felda Bawah KKDW Akan Dibawa Ke Kabinet

13/11/2024 07:55 PM

KUALA LUMPUR, 13 Nov (Bernama) -- Cadangan supaya Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (FELDA) ditempatkan di bawah Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) akan dikemukakan kepada Kabinet untuk dibincangkan, persidangan Dewan Rakyat diberitahu hari ini.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata pihaknya mengambil kira pandangan berkenaan namun ia memerlukan perbincangan secara khusus dengan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim menerusi Mesyuarat Kabinet.

"Insya-Allah, (cadangan) akan dibawa ke pengetahuan Kabinet dan menteri-menteri berkenaan," katanya pada sesi penggulungan Rang Undang-Undang Perbekalan 2025 peringkat jawatankuasa bagi Jabatan Perdana Menteri.

FELDA kini di bawah Bahagian Kawal Selia FELDA (BKSF) Jabatan Perdana Menteri.

Terdahulu, beberapa Ahli Parlimen antaranya Datuk Mohd Isam Mohd Isa (BN-Tampin) mengusulkan FELDA dikawal selia KKDW bagi memudahkan koordinasi dengan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) dan Lembaga Pemulihan dan Penyatuan Tanah Persekutuan (FELCRA).

Mengenai Program Pembangunan Peneroka (PPP) iaitu inisiatif meningkatkan pendapatan peneroka FELDA melalui aktiviti pertanian dan penternakan, Dr Zaliha berkata kerajaan pada 2019 telah memperuntukkan RM1 bilion bagi tujuan pelaksanaan program itu dan hingga kini FELDA hanya menerima RM253 juta.

Beliau berkata menerusi peruntukan itu, FELDA melaksanakan projek PPP antaranya tanaman cili fertigasi, melon, nanas MD2, ternakan ayam pedaging, kambing, lembu pedaging, ikan tilapia serta udang kertas dan perusahaan sarang burung walit.

"Projek aktif yang diusahakan secara individu adalah 6,668 peserta manakala projek yang diusahakan secara koperasi adalah 127 projek melibatkan 45,000 peserta," katanya.

Mengulas peruntukan RM6 juta bagi pembangunan Kampung Baru dalam Belanjawan 2025, Dr Zaliha berkata ia adalah peruntukan projek sambungan bagi tahun depan untuk membina dataran, kemudahan tempat letak kereta dan kemudahan lain di rizab padang Kampung Pindah, Kampung Baru di sini.

"Projek ini dijangka siap Disember 2025 dan peruntukan ini khusus untuk fasa pembinaan tersebut bukan untuk keseluruhan pembangunan Kampung Baru," katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan