AM

Perolehan Sistem Kod QR Sempadan Ke Singapura Dimuktamadkan Tahun Ini - Saifuddin Nasution

18/11/2024 02:56 PM

KUALA LUMPUR, 18 Nov (Bernama) -- Mesyuarat jawatankuasa Khas Bagi Menangani Kesesakan di Tambak Johor bersetuju supaya perolehan penggunaan sistem kod respons pantas (QR) sempadan ke Singapura dimuktamadkan tahun ini.

Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata keputusan itu dibuat menggunakan bukti konsep (POC) selepas Sistem Kod QR dilaksanakan di Kompleks Kastam, Imigresen dan Kuarantin (CIQ) Bangunan Sultan Iskandar (BSI) dan Kompleks Sultan Abu Bakar (KSAB) fasa pertama yang memfokuskan kepada penumpang bas rakyat Malaysia dan penunggang motosikal bermula 1 Jun lepas.

“Hasil POC ini dibentangkan dan mesyuarat bersetuju keputusan dasarnya untuk memuktamadkan proses perolehan semasa tahun ini juga,” katanya pada sidang media selepas Mesyuarat Jawatankuasa Khas Bagi Menangani Kesesakan di Tambak Johor Bil.2 2024 di Bukit Aman di sini hari ini.

Mesyuarat berkenaan dipengerusikan Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Fadillah Yusof yang turut dihadiri Menteri Besar Johor Datuk Onn Hafiz Ghazi, Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil dan Timbalan Ketua Polis Negara Datuk Seri Ayob Khan Mydin Pitchay.

Saifuddin Nasution berkata mesyuarat itu bersetuju untuk memperluaskan penggunaan sistem kod QR  pengguna kenderaan lain secara berfasa tahun hadapan.

Sementara itu, beliau berkata berdasarkan analisis daripada penggunaan kod QR, jangkaan lebih dua juta pengguna setahun dalam tempoh pelaksanaan itu dan ia dapat memendekkan tempoh menunggu terutamanya pada waktu puncak.

Saifuddin Nasution berkata pada mesyuarat jawatankuasa yang ditubuhkan pada 2019 itu, turut dibentangkan laporan perkembangan 52 inisiatif bagi mengurangkan kesesakan di Tambak Johor dengan 22 insiatif telah siap, 10 sedang dilaksanakan dan 20 lagi belum dilaksanakan.

Beliau berkata turut dibentangkan laporan mengenai Zon Ekonomi Khas Johor-Singapura (JS-SEZ), dengan Kementerian Dalam Negeri berfungsi sebagai agensi kawal selia dalam memudahkan pergerakan barangan dan orang ramai.

Selain itu, mesyuarat juga mengambil maklum bahawa Kementerian Pengangkutan akan mengetuai perbincangan dengan Singapura mengenai cadangan mengkaji kesesuaian mengubah laluan kenderaan komersial dari Woodlands ke Tuas.

Mesyuarat itu turut menimbang cadangan untuk menambah baik pas sedia ada yang dikeluarkan oleh pihak Malaysia seperti Pas DE Rantau Nomad bagi membolehkan golongan profesional dan tenaga mahir tinggal di kawasan JS-SEZ tapi bekerja di Singapura.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan