DUNIA

COP29: TNB Komited Sokong Matlamat Peralihan Tenaga Malaysia

19/11/2024 02:54 PM

Daripada Samantha Tan Chiew Tieng

BAKU (Azerbaijan), 19 Nov (Bernama) -- Tenaga Nasional Bhd (TNB) komited untuk menyokong matlamat peralihan tenaga Malaysia di bawah Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), yang bertujuan mencapai pelepasan karbon sifar bersih menjelang 2050.

Ketua Pegawai Grid Hasmarizal Hassan berkata NETR, yang dilancarkan pada Ogos 2023, menetapkan sasaran untuk Malaysia, termasuk peningkatan secara berperingkat untuk bahagian tenaga boleh baharu, menyasarkan 40 peratus menjelang 2035 dan 70 peratus menjelang 2050.

Katanya melalui NETR, TNB merancang untuk memperkukuh infrastruktur grid bagi memenuhi permintaan terhadap elektrik menjelang 2050, menyokong pertumbuhan ekonomi Malaysia dan pewujudan peluang pekerjaan.

“Dalam mencapai aspirasi sifar bersih negara menjelang 2050, TNB telah merangka Pelan Peralihan Tenaga. 

“Di bawah pelan ini, terdapat tiga tonggak utama: memacu penjanaan penyahkarbonan, membangunkan grid yang fleksibel dan rentas sempadan serta memudahkan dan memperkasakan penyertaan pelanggan melalui pendigitalan dan elektrifikasi,” katanya hari ini.

Beliau berkata demikian kepada Bernama di Pavilion Malaysia pada Persidangan Pihak-pihak Konvensyen Rangka Kerja Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu mengenai Perubahan Iklim (UNFCCC) ke-29 yang berlangsung dari 11 hingga 22 Nov 2024 di sini.

Hasmarizal berkata Pelan Peralihan Tenaga TNB sejajar dengan matlamat negara, memberi tumpuan kepada penjanaan penyahkarbonan, membina grid yang fleksibel serta menggalakkan pendigitalan dan elektrifikasi untuk meningkatkan penyertaan pelanggan.

Beliau menegaskan TNB memainkan peranan penting dalam memanfaatkan potensi serantau dengan membangunkan Grid Tenaga ASEAN (APG) untuk memacu NETR dan menyasarkan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab tenaga boleh baharu untuk ASEAN melalui tarif yang kompetitif, bekalan tenaga yang dipercayai dan pelaburan hijau.

“Kami mempunyai projek utama dalam perancangan termasuk sambungan Malaysia-Thailand, sambungan Malaysia-Singapura—walaupun sambungan sedia ada mempunyai kapasiti terhad—dan projek di Vietnam, Sumatra (Indonesia) dan Sarawak.

“Secara ringkasnya, tujuan utama APG ialah memacu kadar penembusan tenaga boleh baharu menjelang 2050 berikutan jika kita hanya bergantung kepada pembinaan aset tenaga boleh baharu di Semenanjung Malaysia tanpa sokongan daripada APG, saya berpendapat kita tidak dapat mencapai 70 peratus menjelang 2050,” katanya.

Hasmarizal berkata bagi mencapai sasaran pelepasan sifar bersih menjelang 2050, Malaysia telah memulakan 10 projek utama dan TNB berada di barisan hadapan dalam merealisasikan aspirasi peralihan tenaga negara melalui tiga projek utama yang digariskan dalam NETR.

Beliau berkata tiga projek yang diuruskan secara langsung oleh TNB ialah projek tenaga solar terapung kadar tinggi dengan kapasiti 2,500 megawatt (MW), pembangunan lima zon tenaga boleh baharu, setiap satu dengan kapasiti 100 MW dan pelaksanaan pembakaran bersama hidrogen dan ammonia.

Katanya dengan memanfaatkan kepakaran TNB dan APG, Malaysia bukan sahaja menyasarkan untuk mencapai sasaran domestiknya tetapi juga menyokong negara-negara ASEAN dalam perjalanan sifar bersih mereka, sekali gus meningkatkan jaminan tenaga dan kelestarian serantau.

Beliau turut menekankan kedudukan Malaysia yang strategik di tengah-tengah ASEAN, menjadikannya hab yang ideal untuk APG. Keazaman politik yang kukuh terus menyokong visi TNB sebagai penyelaras utama dalam pembangunan APG.

Selain itu, katanya tanah yang luas di Malaysia menawarkan potensi yang besar untuk meningkatkan kapasiti tenaga boleh baharu, menjadikan Malaysia dan TNB sebagai peneraju dalam pembangunan APG.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan