AM

Kudung Kaki Digilis Kereta Api, Sulaiman Bangkit Beri Inspirasi Kepada OKU

19/11/2024 04:55 PM

BACHOK, 19 Nov (Bernama) -- Inisiden digilis kereta api hampir 50 tahun dahulu yang menyebabkannya kudung kedua-dua belah kaki tidak menghalang seorang individu orang kurang upaya (OKU) bangkit daripada persitiwa hitam itu bagi menjalani kehidupan seperti insan lain.

Sulaiman Setapa, 65, berkata walaupun berat menerima hakikat itu, namun beliau bertekad untuk berdikari dengan memanfaatkan peluang bekerja dalam bidang pertukangan kayu di Pusat Pemulihan OKU Kelantan (Proka) Kota Bharu pada 1987.

Bapa kepada empat anak itu berkata hasil kesungguhan dan keazaman, beliau berjaya menguasai kemahiran pertukangan sehingga dilantik sebagai Ketua Tukang di Proka Bachok dan kini berpeluang pula mencurahkan ilmu kepada OKU yang lain.

"Selepas kedua-dua kaki dipotong dari paras lutut, saya menghabiskan masa di rumah sehinggalah diajak oleh kawan-kawan untuk bekerja di Proka Kota Bharu untuk menjadi tukang kayu.

"Tanpa berfikir panjang, saya terus pergi ke pusat pemulihan itu. Biar pun tiada asas dalam bidang pertukangan, namun saya terus belajar sampai mahir hingga dilantik Ketua Tukang," katanya kepada pemberita ketika ditemui di Proka Bachok, di sini hari ini. 

Sulaiman berkata ilmu yang ada padanya kini dicurahkan sepenuhnya kepada 42 pelatih yang merangkumi OKU dalam pelbagai kategori termasuk lima wanita supaya mereka dapat menjana pendapatan bagi menyara keluarga.

Beliau berkata latihan kemahiran yang ditawarkan Proka adalah peluang untuk OKU sepertinya hidup berdikari yang perlu dimanfaatkan dengan sebaik mungkin.

"Banyak perabot yang boleh kami hasilkan seperti kabinet dapur, katil, meja dan kerusi. Saya ajar mereka dari mula seperti memotong kayu hingga pengendalian mesin. Walaupun di usia emas tetapi selagi ada kudrat, saya akan tetap melatih mereka supaya insan-insan OKU bersemangat meneruskan kehidupan," katanya.

Bercerita mengenai tragedi yang menimpanya, Sulaiman berkata ketika kejadian, beliau baru berusia 16 tahun dan pada waktu itu dalam perjalanan pulang ke kampung dari Tanah Merah ke Bertam, Gua Musang menggunakan kereta api.

"Saya berdiri depan pintu kereta api sebab dah nak sampai (stesen) Bertam tetapi entah macam mana saya rasa pening lalu terjatuh atas landasan sebelum kedua-dua kaki digilis oleh kereta api yang sedang bergerak," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan