KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mempelawa rakyat Malaysia menyertai pelbagai aktiviti menarik sempena Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Konvensyen Nasional Reformasi Perkhidmatan Awam Tahun 2024 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) berlangsung selama tiga hari bermula Jumaat ini.
Beliau berkata program berkenaan adalah platform terbaik untuk orang ramai terlibat secara langsung dalam usaha reformasi kerajaan selain merasai sendiri manfaat inisiatif yang telah dirangka Kerajaan MADANI.
"Saya ingin menyeru seluruh rakyat Malaysia untuk hadir dan bersama-sama, datang beramai-ramai di KLCC dari 9 pagi hingga 6 petang, MADANI di hati, rakyat disantuni," katanya menerusi hantaran di Facebook hari ini.
Pelbagai aktiviti disediakan pada program itu termasuk pameran perkhidmatan daripada kementerian-kementerian, reruai usahawan serta Jualan MADANI.
Selain itu pengunjung ditawarkan diskaun 60 peratus bayaran saman trafik oleh Polis Diraja Malaysia, karnival kerjaya serta diskaun tiket kemasukan ke Muzium Negara.
Sebelum ini Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan menyasarkan lebih 230,000 pengunjung hadir ke program berkenaan melihatkan kepada lokasi penganjurannya yang strategik.
Program 2TM anjuran Pejabat Perdana Menteri melalui Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) selaku sekretariat induk dengan kerjasama Perbadanan Produktiviti Malaysia (MPC) dan Unit Pantau MADANI itu dijadual dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Sabtu.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial