AM

Lebih 130,000 Unit Kediaman Bertingkat Di Selangor Belum Dapat Hak Milik Strata

19/11/2024 04:49 PM

SHAH ALAM, 19 Nov (Bernama) -- Sebanyak 138,817 unit kediaman bertingkat di seluruh Selangor dikenal pasti masih belum mendapat hak milik strata, persidangan Dewan Undangan Negeri Selangor diberitahu hari ini.

Exco Perumahan dan Kebudayaan negeri Datuk Borhan Aman Shah berkata dapatan itu diperoleh Jawatankuasa Khas Inisiatif Pengeluaran Hak Milik Strata Bagi Perumahan dan Hartanah yang berperanan merancang strategi bagi menyelesaikan isu skim strata bagi pemilik perumahan atau hartanah yang belum mempunyai hak milik strata.

Beliau berkata jawatankuasa itu juga sedang mengenal pasti projek yang berpotensi untuk diselesaikan selain menyediakan inventori bangunan tanpa hak milik strata.

“Inventori ini bertujuan mengenal pasti bangunan yang tidak mempunyai hak milik strata atas sebab dokumen utama tidak lengkap selain kekangan kos tambahan.

“Setakat Oktober lepas, jawatankuasa khas ini telah menyelesaikan penyediaan inventori dan kenal pasti projek belum memiliki hak milik strata,” katanya ketika menjawab pertanyaan Lim Yi Wei (PH-Kampung Tunku) yang ingin tahu kes sedang diteliti jawatankuasa itu.

Borhan berkata antara isu membabitkan hak milik strata ialah dokumen pembangunan tidak lengkap, seperti kebenaran merancang, pelan bangunan dan lesen pemajuan serta perjanjian jual beli.

Semalam, Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Tanjong Sepat itu dilaporkan berkata ada antara unit atau petak yang belum diselesaikan pemilikan itu telah menjangkau lebih 30 tahun dan pihaknya menyasarkan sekurang-kurangnya 10 peratus daripada kes berkenaan diselesaikan tahun hadapan.

Jumaat lepas, Menteri Besar Datuk Seri Amirudin Shari ketika membentangkan Belanjawan Selangor 2025 mengumumkan RM10 juta diperuntukkan bagi dana awalan Tabung Penyelesaian Strata di Selangor.

Ia antara lain bertujuan membantu meningkatkan peratusan penyelesaian pembangunan tanpa hak milik strata di negeri itu khususnya skim yang tidak layak untuk memohon peruntukan daripada tabung khas hak milik strata.

-- BERNAMA

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan