AM

LPT3: Cadangan Kos Projek Dijangka Meningkat RM9.8 Bilion - Ahmad Maslan

19/11/2024 05:09 PM

KUALA LUMPUR, 19 Nov (Bernama) -- Kos bagi cadangan pembinaan Lebuhraya Pantai Timur 3 (LPT3) dari Kampung Gemuroh, Kuala Terengganu ke Kampung Tunjong di Kota Bharu, Kelantan dijangka meningkat kepada RM9.8 bilion berbanding kos yang dianggar pada 2009 sebanyak RM2.867 bilion.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata peningkatan kos itu disebabkan model pembiayaan yang digunakan bagi pembinaan lebuh raya itu adalah berdasarkan pulangan keuntungan melalui kutipan bayaran tol.

"Untuk LPT1 kosnya RM1.477 bilion dari Karak ke Jabor dan tol yang dikenakan hanya untuk penyelenggaraan. Untuk LPT2 yang dibuka pada 2015, kosnya RM4.37 bilion dari Jabor ke Kuala Telemong dan tol (dikenakan) 9.84 sen per kilometer (km), itu hanya untuk penyelenggaraan.

"Dengan lain perkataan, LPT1 dibuat sepenuhnya menggunakan wang kerajaan Persekutuan manakala LPT2 juga wang kerajaan Persekutuan. LPT3 yang dicadangkan ini pula ia adalah kaedah tol sepenuhnya, itu sebab kosnya RM9.8 bilion atau 60 sen per km dan kos (tol) hujung ke hujung RM70," katanya menjawab soalan tambahan Shaharizukirnain Abd Kadir (PN-Setiu) berhubung kaedah pembiayaan projek LPT3 pada sesi soal jawab di Dewan Rakyat hari ini.

Menjawab soalan asal Shaharizukirnain berhubung keputusan mesyuarat Jemaah Menteri berkenaan pembinaan LPT3, Ahmad berkata pelaksanaan permintaan cadangan (RFP) bagi LPT3 sedang diteliti di Unit Kerjasama Awam Swasta, Jabatan Perdana Menteri (UKAS JPM).

“Sekiranya dipersetujui jawatankuasa di UKAS JPM, cadangan RFP bagi projek LPT3 akan dibentangkan kepada Jemaah Menteri untuk pertimbangan kelulusan,” katanya. 

Ditanya berhubung faktor yang menyebabkan kajian awal pada 2009 tentang jajaran lebuh raya tersebut perlu dikaji semula, Ahli Parlimen Pontian itu berkata ia bagi memperincikan semula jajaran dan kos bagi cadangan projek itu yang dicadang dilaksanakan secara kerjasama awam swasta (PPP) melalui bidaan bersaing RFP.

“Mengambil kira tempoh kajian kemungkinan yang dilaksanakan sebelum ini iaitu 15 tahun yang lepas, Kementerian Kerja Raya (KKR) melalui Jabatan Kerja Raya (JKR) telah mengambil inisiatif untuk melaksanakan kerja awalan pada 2020 bagi memperincikan semula jajaran dan kos,” katanya.

KKR telah melaksanakan Kajian Kemungkinan LPT3 pada 2009 yang bertujuan untuk menentukan cadangan jajaran lebuh raya tersebut berdaya maju dari aspek teknikal mahupun ekonomi dengan kos projek pada waktu itu dianggarkan RM2.867 billion.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan