AM

Konsep MADANI Bina Negara Bangsa, Bukan Slogan Politik

20/11/2024 10:10 AM

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Konsep MADANI yang diuar-uarkan kerajaan ketika ini tidak boleh dilihat sebagai satu slogan politik, sebaliknya merupakan usaha kesinambungan untuk membina negara bangsa.

Timbalan Ketua Pengarah (Latihan) Akademi Kenegaraan Malaysia, Pejabat Perdana Menteri, Datuk Ismail Yusop berkata MADANI sebenarnya membawa maksud ketamadunan kerana mengangkat darjat sesebuah masyarakat untuk lebih maju dalam pelbagai aspek termasuk pemikiran bagi menyumbang kepada pembangunan negara. 

Oleh itu, jika ada pihak beranggapan bahawa MADANI ialah satu ‘senjata’ politik yang diwujudkan bagi mendapatkan sokongan rakyat, beliau berkata ia adalah kesilapan besar.

“Ketika pelancarannya, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menegaskan bahawa ia (MADANI) bukanlah sesuatu yang baharu dalam aspek ketamadunan kerana merupakan kesinambungan untuk proses pembinaan negara bangsa.

“Sebab itu sangat penting sebenarnya untuk kita mendapat satu persepsi yang jelas dan tepat, kerana MADANI ini tidak boleh dilihat sebagai satu slogan daripada Perdana Menteri ke-10 ataupun Kerajaan Perpaduan atau Kerajaan MADANI yang dipimpin beliau tetapi sebenarnya adalah satu bentuk perspektif kenegaraan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjadi tetamu jemputan program Ruang Bicara bagi membincangkan tajuk “MADANI: Antara Politik dan Tamadun” terbitan Bernama TV malam tadi.

Turut senada, Felo Operasi Psikologi Pusat Pengajian Perang Saraf Media dan Informasi, Universiti Teknologi MARA (UiTM) Dr Noor Nirwandy Mat Noordin yang berpandangan adalah tidak adil untuk menyifatkan MADANI sebagai retorik, sedangkan visi dan terasnya sejajar dengan elemen ketamadunan seperti keberhasilan kerajaan dalam membangunkan kerangka ekonomi.

Beliau berkata menjelang kepengerusian ASEAN tahun depan, konsep MADANI penting untuk membawa satu bentuk ketamadunan baharu kepada Malaysia dalam usaha mengukuhkan diplomasi awam dan menangani isu seperti keselamatan kesihatan, persekitaran dan keselamatan siber, pascakewujudan teknologi terkini seperti kecerdasan buatan (AI).

 “Kita (Malaysia) mungkin bukan yang terbaik tetapi percayalah ini adalah satu fasa untuk kita buktikan bahawa ASEAN juga mampu setanding dengan kuasa-kuasa Barat dan Eropah dan penyertaan Malaysia dalam BRICS juga akan membuka lembaran baharu kepada kerajaan untuk memimpin ekonomi negara dengan lebih baik,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan