AM

Pindaan POCA Dibentangkan Pada Sidang Parlimen Akan Datang

20/11/2024 02:10 PM

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Dr Shamsul Anuar Nasarah berkata pindaah Akta Pencegahan Jenayah 1959 (POCA) dapat dibentangkan pada sidang Parlimen akan datang.

Beliau berkata pindaan itu dibuat susualn keputusan Mahkamah Persekutuan pada April 2022 bahawa Seksyen 4 dan 15B akta tersebut bercanggah dengan Perlembagaan Persekutuan.

Shamsul Anuar berkata Kementerian Dalam Negeri (KDN) sudah mengadakan beberapa sesi libat urus dengan pemegang taruh berkaitan, manakala cadangan pindaan dibentangkan dan diluluskan mesyuarat Jemaah Menteri pada 13 Dis lepas.

“KDN akan adakan satu lagi sesi (libat urus) dalam masa terdekat sebelum pindaan ini dirancang dibentangkan pada Mesyuarat Pertama Penggal Keempat Parlimen ke-15 nanti,” katanya.

Beliau menjawab soalan Chow Yu Hui (PH-Raub) mengenai garis masa bagi meminda POCA pada sesi soal jawab lisan di Dewan Rakyat hari ini.

Shamsul Anuar berkata susulan arahan penangguhan terhadap semua tangkapan di bawah POCA yang berkuat kuasa pada 28 April 2022, terdapat peningkatan kes melibatkan jenayah kekerasan, jenayah harta benda dan narkotik.

Beliau berkata bagi jenayah kekerasan, sebanyak 20,361 kes dilaporkan setakat ini berbanding 17,198 kes tahun lepas, manakala  jenayah harta benda daripada 48,222 kes (2023) kepada 51,941 kes dan narkotik daripada 193,342 kepada 204,461.

“Kita harap dengan sesi libat urus itu nanti, kita dapat capai keputusan terbaik untuk membendung jenayah yang mencabar ini,” katanya.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan