AM

MOT Sedia Perhalusi Cadangan Guna Teknologi Pemantauan Masa Nyata Pemandu Lori

20/11/2024 04:19 PM

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan bersedia memperhalusi cadangan pemasangan sistem pemantauan masa nyata dan kamera litar tertutup (CCTV) di dalam kenderaan muatan berat bagi memantau pemanduan pemandu.

Menteri berkenaan Anthony Loke berkata kementeriannya terbuka menerima cadangan daripada pelbagai pihak dalam usaha menambah baik langkah keselamatan di jalan raya.

Bagaimanapun, beliau berkata cadangan memasang sebarang peralatan pemantauan perlu mengambil kira implikasi kos, keberkesanan kaedah, faktor praktikal dan kesesuaian dalam industri itu.

“Dalam mewajibkan pemasangan apa-apa teknologi atau peranti, ia memerlukan pertimbangan menyeluruh melibatkan semua pihak berkepentingan… kita akan buat libat urus dengan pakar dan pihak berkepentingan terhadap cadangan itu,” katanya pada sidang media di Bangunan Parlimen hari ini.

Bernama sebelum ini melaporkan cadangan pakar automotif berhubung penggunaan teknologi sistem pemantauan masa nyata bagi memantau kelakuan pemandu kenderaan berat khususnya pemandu lori di jalan raya sebagai langkah mengurangkan risiko kemalangan berpunca daripada faktor manusia.

Langkah menggunakan teknologi seperti penjejakan Sistem Kedudukan Global (GPS) membolehkan pengurus fleet mendapatkan maklum balas segera mengenai prestasi pemanduan seperti kelajuan, corak brek dan amalan pemanduan keseluruhan, seterusnya mengelakkan kemalangan atas faktor kecuaian pemandu lori.

Berdasarkan data dikeluarkan Jabatan Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik Bukit Aman pada 15 Nov lepas, lori kecil, treler dan lori kontena merupakan penyumbang tertinggi kes kemalangan melibatkan kenderaan perdagangan bagi tempoh Januari hingga September lepas dengan 168 kes direkodkan.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan