AM

LPPKN Perluas Modul Pakej Kasih MADANI Ke Seluruh Negara Tahun Depan

20/11/2024 06:46 PM

MELAKA, 20 Nov (Bernama) -- Lembaga Penduduk dan Pembangunan Keluarga Negara (LPPKN) akan memperkemas dan memperluaskan pelaksanaan Modul Pakej Kasih MADANI kepada kumpulan sasar di seluruh negara pada tahun depan.

Timbalan Ketua Pengarah Pengurusan LPPKN Hairil Fadzly Md Akir berkata sebanyak RM20 juta diperuntukkan kepada LPPKN pada Belanjawan 2025 dan ia akan dimanfaatkan bagi melaksanakan pakej berkenaan dan program-program lain yang berkaitan nilai kekeluargaan.

"Dalam tempoh setahun sejak diperkenalkan, kita telah siapkan semua modul-modul pembelajaran dan membuat program rintis serta memberi latihan kepada jurulatih utama.

"Pada tahun depan kita akan memberi latihan kepada pelatih-pelatih selain mengadakan kerjasama dengan badan bukan kerajaan (NGO) dan agensi kerajaan bagi membantu mengembangkan Modul Pakej MADANI kepada masyarakat," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Sambutan November Bulan Keluarga Kebangsaan Peringkat Melaka 2024 yang dirasmikan Exco Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri Datuk Kalsom Nordin.

Hairil Fadzly berkata pakej itu melibatkan program khusus iaitu Program Pra Perkahwinan SMARTSTART 2.0, Program KASIH Keibubapaan Digital, Program Kem Naungan KASIH dan Program KASIH Keluarga Ceria.

Beliau seterusnya berkata ia merupakan usaha dalam merealisasikan agenda keluarga yang kukuh sebagai elemen teras pembinaan sebuah negara berkonsepkan Malaysia MADANI.

"Ia meliputi aspek kesejahteraan keluarga seperti program keibubapaan, sokongan kepada ibu bekerja, penjagaan kanak-kanak dan warga emas," katanya. 

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan