AM

Garis Panduan PEERS KPM Tingkatkan Kesedaran Kesihatan Reproduktif Masyarakat - Fadhlina

20/11/2024 09:08 PM

KUALA LUMPUR, 20 Nov (Bernama) -- Garis Panduan Pendidikan Kesihatan Reproduktif dan Sosial (PEERS) yang dilancarkan di sini hari ini dapat meningkatkan tahap kesedaran kesihatan reproduktif dalam kalangan masyarakat khususnya ibu bapa dan pelajar sekolah, kata Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek.

Fadhlina berkata garis panduan yang dihasilkan secara komprehensif melalui pandangan dan cadangan pakar dalam pelbagai bidang termasuk perubatan, psikiatri, psikologi, pekerja sosial, sosiologi, undang-undang, pendidikan, kesihatan keluarga, kebajikan kanak-kanak dan agama akan diperkukuh dari semasa ke semasa.

“Kita memastikan bahawa ia ditunjangi ataupun diperkasakan dengan enam tunjang utama yang sangat penting (iaitu perkembangan manusia, perhubungan, kemahiran kendiri, perkahwinan dan kekeluargaan, kesihatan dan tingkah laku seksual serta masyarakat, budaya dan undang-undang).

“Ini ialah dokumen hidup, sifatnya dinamik. Jadi, setiap kali ada kelemahan, akan ada tambah baik. Pakar rujuk kita akan memberikan tambah nilai sekiranya ada isu berbangkit semasa pelaksanaan garis panduan ini, dan ia boleh berubah mengikut trend dan keperluan semasa,” katanya.

Fadhlina berkata demikian pada sidang media yang diadakan selepas Majlis Peluncuran Garis Panduan PEERS Kebangsaan di Sekolah Menengah Kebangsaan St. Mary di sini hari ini.

Beliau berkata garis panduan berkenaan meliputi aspek perkembangan reproduktif seperti perhubungan, perkahwinan, kehidupan keluarga, akil baligh, haid, anatomi tubuh dan kehamilan serta penyakit jangkitan seksual.

Fadhlina berkata ia turut mengandungi amalan penjagaan kesihatan reproduktif dan sosial, identiti gender, kemahiran membuat keputusan, komunikasi secara berkesan serta pencegahan keganasan seksual yang bersesuaian dengan peringkat umur sasaran berdasarkan kajian dan pemerhatian situasi sebenar.

Inisiatif PEERS yang diwujudkan bagi menangani isu kehamilan golongan remaja di negara ini meliputi empat kumpulan sasar iaitu Kumpulan 1 melibatkan kanak-kanak empat hingga enam tahun, Kumpulan 2 (tujuh hingga sembilan tahun), Kumpulan 3 (10 hingga 12 tahun) dan Kumpulan 4 (13 hingga 19 tahun).

Fadhlina berharap garis panduan ini dapat disebarluaskan dalam kalangan masyarakat khususnya ibu bapa dan pelajar sekolah sebelum ia mula menjadi sebahagian daripada kurikulum persekolahan pada 2027 untuk diajar pada peringkat prasekolah sehingga menengah.

Pada 10 Nov lepas, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Nancy Shukri menyuarakan kebimbangan mengenai isu kehamilan remaja, perkahwinan bawah umur, pembuangan bayi dan pengguguran tidak selamat di negara ini.

Nancy berkata berdasarkan data Kementerian Kesihatan, sebanyak 44,263 kes kehamilan remaja direkodkan sejak lima tahun lepas, dan daripada jumlah itu 17,646 melibatkan remaja yang belum berkahwin.

Dalam pada itu, Fadhlina ketika ditanya mengenai larangan penggunaan vape dalam kalangan pelajar sekolah berkata selain pihak sekolah, ibu bapa juga perlu memantau kegiatan anak-anak mereka di luar waktu persekolahan.

“Kita masih memerlukan sokongan dan bantuan daripada ibu bapa untuk memantau anak mereka khususnya aktiviti pembelian dan kegiatan mereka di luar sekolah yang barangkali kita tidak ada maklumat bagaimana mereka mendapatkan bekalan itu.

“Tetapi pada peringkat sekolah memang ada garis panduan dan ada tindakan disiplin yang tegas (dikenakan) sekiranya dapati bersalah dan juga melanggar peraturan sekolah," katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan