DUNIA

Malaysia Hos Mesyuarat Meja Bulat ASEAN 2025 Fokus Pelesenan Perkhidmatan Dalam Talian

21/11/2024 12:30 PM

KUALA LUMPUR, 21 Nov (Bernama) -- Malaysia akan menjadi tuan rumah bagi mesyuarat meja bulat berkaitan pelesenan perkhidmatan dalam talian dalam kalangan negara anggota ASEAN pada Januari 2025.

Ketua Setiausaha Kementerian Komunikasi Datuk Mohamad Fauzi Md Isa memaklumkan perkara itu dipersetujui dalam Mesyuarat Pegawai Kanan ASEAN yang Bertanggungjawab bagi Maklumat ke-21 (SOMRI ke-21) yang berlangsung di Ha Long, Vietnam pada Rabu.

Ia susulan pihak kementerian menerusi Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) membentangkan kertas kerja bertajuk "Proposal to Conduct A Roundtable Meeting to Explore Views on Licensing Online Services Operating on Social Media Platforms and Messaging Apps within ASEAN Member States" pada mesyuarat itu.

“Negara anggota ASEAN sebulat suara bersetuju dan mengalu-alukan cadangan MCMC untuk mengadakan mesyuarat meja bulat di Kuala Lumpur pada Januari 2025,” katanya menerusi satu perkongsian di laman Facebook miliknya.

“Mesyuarat meja bulat ini akan menyediakan platform untuk berkongsi perspektif, pengalaman dan cabaran berkaitan dengan perlesenan perkhidmatan dalam talian dalam kalangan negara anggota ASEAN,” kata Mohamad Fauzi.

Mohamad Fauzi berkata hasil laporan mesyuarat meja bulat itu akan dimasukkan dalam Garis Panduan Media Sosial untuk ASEAN yang telah diangkat oleh Malaysia untuk meningkatkan kawal selia dan tadbir urus dalam talian.

Sementara itu, Mohamad Fauzi berkata semasa mesyuarat SOMRI ke-21 itu, beliau telah berkongsi usaha Malaysia untuk mentransformasi media selaras dengan Visi AMRI (Menteri ASEAN Bertanggungjawab Bagi Maklumat) ASEAN 2035 dan Deklarasi Da Nang.

“Tiga matlamat utama digariskan Malaysia ialah menggalakkan teknologi untuk transformasi media dan kebolehcapaian, memerangi maklumat palsu dan meningkatkan daya tahan media dan memastikan inklusiviti untuk semua komuniti,” katanya.

Beliau berkata tiga inisiatif yang ditekankan ialah perkhidmatan digital dan komunikasi berasaskan AI serta penglibatan media sosial, program literasi digital untuk memerangi maklumat palsu dan kandungan media inklusif, terutamanya untuk kumpulan yang kurang mendapat perhatian.

Beliau berkata Malaysia turut menekankan hala tuju masa depan seperti bekerjasama dengan rakan dialog ASEAN untuk menghasilkan pelbagai kandungan, mengukuhkan peraturan media sosial untuk memastikan ketelusan dan meningkatkan kapasiti penyiar untuk mempamerkan kepelbagaian budaya ASEAN.

“Saya yakin dengan kerjasama seiringan, kita dapat bersama-sama mewujudkan ASEAN yang lebih inklusif,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan