AM

Hospital Seri Iskandar Beroperasi 11 Dis - Dzulkefly

21/11/2024 01:20 PM

PARIT, 21 Nov (Bernama) -- Hospital Seri Iskandar (HSI) yang akan mula beroperasi pada 11 Dis ini akan memperkukuh perkhidmatan kesihatan di daerah Perak Tengah, kata Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad.

Beliau berkata HSI yang menelan kos RM153.18 juta akan meneruskan peranan Hospital Changkat Melintang sebagai Non-lead Hospital iaitu perkhidmatan kepakaran disalurkan dari Hospital Seri Manjung sebagai Lead Hospital.

“Melalui pendekatan ini, Hospital Seri Iskandar akan mendapat akses kepada perkhidmatan kepakaran secara kluster,” katanya ketika berucap pada Majlis Penyerahan Projek HSI Perak dan Blok Tambahan Hospital Seri Manjung (HSM) di sini hari ini. 

Turut hadir Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi.

Dzulkefly berkata antara perkhidmatan kepakaran dan subkepakaran yang disediakan melalui lawatan pakar berkala termasuk Perubatan Kecemasan, Perubatan Am dan Pembedahan Am, Pediatrik, Psikiatri, Ortopedik, Obstetrik dan Ginekologi serta Radiologi.

“Bagi pengoperasian ini, 516 perjawatan baharu telah diluluskan meliputi 22 jawatan pegawai perubatan, 97 penolong pegawai perubatan, 137 jururawat dan 260 jawatan bagi skim perkhidmatan lain,” katanya.

Pada majlis berkenaan Kementerian Kerja Raya (KKR) turut menyerahkan Blok Tambahan HSM yang menelan belanja RM75 juta dan mula beroperasi pada 13 Jan 2025. 

Dzulkefly berkata pembinaan blok tambahan ini mengandungi dua bangunan baharu iaitu satu bangunan empat tingkat dengan pelbagai fasiliti dan satu bangunan setingkat menempatkan wad psikiatri.

“Blok tambahan empat tingkat ini menyediakan klinik pakar dengan 22 bilik pemeriksaan dan konsultasi untuk Perkhidmatan Kepakaran ENT, bedah mulut maksilofasial dan pergigian pediatrik. Perkhidmatan ini akan mengurangkan rujukan pesakit ke Hospital Raja Permaisuri Bainun, Ipoh dan Hospital Teluk Intan.

“Selain itu, dengan adanya wad psikiatri yang baharu di Hospital Seri Manjung, rujukan pesakit ke Hospital Bahagia Ulu Kinta dapat dikurangkan,” katanya.

Selain itu beliau berkata melalui Belanjawan 2025, Perak akan menerima 16 projek baharu, menyambung 23 projek sedia ada dengan peruntukan keseluruhan RM117.85 juta.

Antara projek sambungan fasiliti kesihatan di Perak yang masih dalam pembinaan dan dijadualkan siap pada 2025 dan 2026 adalah Hospital Parit Buntar, naik taraf Jabatan Transfusi Hospital Raja Permaisuri Bainun dan Klinik Kesihatan (Jenis 3) Air Tawar, Manjung.

-- BERNAMA
 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan