AM

Kuala Muda Antara Daerah Rekod Kadar Kematian Tertinggi Kemalangan Jalan Raya

21/11/2024 03:25 PM

ALOR SETAR, 21 Nov (Bernama) -- Daerah Kuala Muda masih menjadi antara daerah yang merekodkan kadar kematian tertinggi akibat kemalangan jalan raya di Malaysia sehingga kini, kata Pengerusi Majlis Keselamatan Jalan Raya Negeri Kedah Dzowahir Ab Ghani.

Beliau yang juga Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Perladangan dan Pengangkutan Kedah berkata bagi tempoh Jan hingga Sept tahun ini, daerah itu merekodkan jumlah kematian akibat kemalangan jalan raya sebanyak 109 dan jumlah itu dilihat tinggi berbanding daerah-daerah lain.

“Sebelum ini, Kedah mencatatkan kematian tertinggi di Malaysia, bagaimanapun pada tahun lepas  Kedah berada di kedudukan keempat dengan 582 kematian dan kita berharap mungkin lepas ini, negeri ini akan berada pada kedudukan yang terakhir.

“Bagi membantu mengurangkan jumlah kematian dan kemalangan, sebenarnya apa yang diperlukan adalah disiplin supaya pengguna lebih beradab di jalan raya...buat la kempen, program banyak mana sekalipun, kalau tidak berdisiplin, memang sukar hendak kurangkan kemalangan,” katanya ketika berucap pada majlis Sambutan Hari Memperingati Mangsa Kemalangan Jalan Raya Sedunia 2024 Peringkat Negeri Kedah di sini hari ini.

Dzowahir berkata bagi membolehkan sasaran pengurangan 50 peratus jumlah kematian akibat nahas jalan raya pada penghujung tahun 2030 tercapai, semua pihak perlu memainkan peranan masing-masing dengan menggunakan segala saluran media massa yang semakin canggih kini.

“Tahun lepas, dianggarkan purata 18 kematian akibat jalan raya berlaku setiap hari bersamaan 80 minit, ada seorang yang meninggal dunia...untuk motosikal pula, purata kematian adalah daripada 18 kematian sehari, 12 daripadanya membabitkan motosikal, bermaksud hampir setiap dua jam ada kemalangan maut membabitkan motosikal.

“Jadi, saya ingin menyeru semua jabatan, agensi, badan bukan kerajaan (NGO) dan pihak swasta untuk bersama-sama meneruskan kempen keselamatan jalan raya supaya masyarakat negeri ini dapat sentiasa berhati-hati dan memikirkan keselamatan diri serta orang sekeliling,” katanya.

Sambutan berkenaan diadakan di Hospital Sultanah Bahiyah, di sini bagi mengingati mangsa-mangsa kemalangan jalan raya serta menyampaikan mesej penting tentang keselamatan jalan raya serta diselitkan dengan pelbagai aktiviti lain antaranya perkongsian pengalaman daripada mangsa kemalangan, ceramah mengenai pemanduan berhemah serta lawatan ke wad bagi menyantuni pesakit.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan