AM

Dua PPR Baharu Akan Dibangunkan Di Selangor - Exco

21/11/2024 04:55 PM

SHAH ALAM, 21 Nov (Bernama) -- Sebanyak dua projek Program Perumahan Rakyat (PPR) akan dibangunkan di Selangor dalam usaha membantu menyediakan tempat tinggal bagi golongan B40, kata Exco Perumahan dan Kebudayaan negeri Datuk Borhan Aman Shah.  

Beliau berkata kedua-dua projek berkenaan yang dirancang dengan kerjasama Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT) akan dibina di Kampung Dato' Ahmad Razali, Sepang dan Bestari Jaya, Kuala Selangor yang masing-masing telah diluluskan pada 2023 dan 2024. 

"Bagi PPR Kampung Dato’ Ahmad Razali, ia melibatkan pembinaan 200 unit rumah di atas tanah milik Lembaga Perumahan dan Hartanah Selangor (LPHS), manakala 245 rumah akan dibina di PPR Harmoni MADANI, Bestari Jaya di atas tanah milikan asal Berjayacity Sdn Bhd yang diserahkan kepada kerajaan negeri sebagai tanah kerajaan," katanya pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN) Selangor di sini hari ini. 

Beliau menjawab pertanyaan S. Preakas (PH-Kota Kemuning) yang ingin tahu jika kerajaan mempunyai rancangan untuk menambah rumah PPR bagi golongan B40. 

Borhan berkata bagi PPR Harmoni MADANI, pemberimilikan tanah akan dibuat kepada LPHS dengan Perbadanan PR1MA Malaysia dilantik sebagai agensi pelaksana.

Dalam pada itu, beliau berkata sebanyak 29 notis telah dikeluarkan bagi kesalahan sublet atau pajakan kecil di PPR Kampung Baru Hicom, Shah Alam selain memberikan komitmen tindakan pemutihan dan operasi rutin akan dijalankan secara berterusan oleh Perumahan dan Hartanah Selangor Sdn Bhd (PHSSB). 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan