PUTRAJAYA, 21 Nov (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil menyifatkan Jawatankuasa Sambutan Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia (HKHM) 2024 sebagai satu pasukan terbaik yang telah menjayakan kedua-dua sambutan dengan baik dan lancar.
Berucap pada Majlis Perasmian Penutupan HKHM 2024 di sini malam ini, Fahmi yang juga Pengerusi Jawatankuasa Induk HKHM 2024 berkata acara sambutan Hari Kebangsaan di Dataran Putrajaya dan Hari Malaysia di Padang Merdeka, Kota Kinabalu, Sabah itu telah diurus dengan baik dengan pelbagai kelainan ditampilkan bagi menarik kehadiran ribuan pengunjung.
“Saya rasakan bahawa pasukan yang ada cukup baik, terima kasih kepada semua. Tanpa anda semua, sambutan tidak berjaya, sambutan tidak berjalan dan tidak mendapat sambutan (ramai).
“Selaku Pengerusi Jawatankuasa Induk HKHM 2024, saya rakam setinggi-tinggi penghargaan kepada setiap individu atas usaha keras demi kejayaan dan kelancaran sambutan,” katanya dan menambah tugasan sebagai pengerusi jawatankuasa berkenaan merupakan antara tanggungjawab paling berat yang dipikulnya.
Sambutan Hari Kebangsaan ke-67 berjalan lancar dengan kehadiran lebih 100,000 pengunjung manakala lebih 40,000 orang hadir ke Padang Merdeka bagi meraikan sambutan Hari Malaysia 2024 yang dianjurkan dengan kerjasama Kerajaan Negeri Sabah.
Fahmi berkata Sambutan Hari Kebangsaan turut dimeriahkan dengan keberangkatan Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim dan Raja Permaisuri Agong Raja Zarith Sofiah serta kehadiran Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim dan isteri Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail dan barisan Jemaah Menteri.
“Tidak lupa juga kepada para petugas keselamatan, sukarelawan, media, semua yang bertungkus lumus memastikan kelancaran acara dari awal hingga akhir. Tanpa komitmen dan kerjasama semua, acara sebesar ini tidak mungkin dapat dilaksanakan dengan jayanya,” katanya.
Beliau berkata walaupun HKHM 2024 berlangsung dengan lancar, namun terdapat beberapa aspek yang perlu dinilai dan diperbaik bagi memastikan sambutan pada tahun akan datang dilaksanakan dengan lebih baik.
“Saya percaya tahun depan akan ada keunikan yang bakal ditonjolkan oleh kementerian, jabatan dan agensi. Insya-Allah kita akan teliti beberapa perkara supaya acara bertambah meriah,” kata Fahmi.
Lebih 800 tetamu yang terlibat dengan HKHM 2024 diraikan dalam majlis itu dengan penganugerahan plak dan sijil penghargaan kepada anggota jawatankuasa sambutan berkenaan.
Turut hadir Ketua Pegawai Eksekutif Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama) Nur-ul Afida Kamaludin yang menerima sijil penghargaan daripada Fahmi.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial