AM

2TM: Barangan Keperluan Asas Dengan Harga Berpatutan Di Program Jualan Rahmah MADANI

22/11/2024 01:55 PM

KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Reruai Program Jualan Rahmah MADANI yang menawarkan barangan keperluan asas seperti minyak masak, beras dan telur dengan harga berpatutan terus menjadi tumpuan pengunjung pada Program Dua Tahun MADANI (2TM) yang bermula hari ini.

Orang ramai tidak putus-putus mengunjungi dan membuat pembelian barangan di reruai yang dibuka seawal 9 pagi tadi di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur itu, yang menawarkan produk barangan keperluan asas pada kadar potongan harga antara 10 dan 30 peratus.

Penjawat awam Azlee Abd Aziz, 36, berkata usaha kerajaan dalam pelaksanaan Jualan Rahmah MADANI bagi membantu meringankan beban rakyat perlu diteruskan supaya lebih ramai golongan B40 dan M40 dapat menerima manfaat.

"Selain itu, yang belum menerima gaji juga dapat berbelanja dan berjimat untuk perbelanjaan barangan keperluan ini," katanya yang sempat mendapatkan beberapa barangan keperluan harian di sini hari ini. 

Seorang pengunjung Mat Jidin Johor, 53, dari Kampung Pandan, Kuala Lumpur, yang hadir ke program itu bagi membuat penukaran topi keledar di reruai Jabatan Pengangkutan Jalan, juga tidak melepaskan peluang untuk membeli barangan keperluan pada harga berpatutan 

“Alhamdulillah saya dapat beli sedikit barangan keperluan, dapat berjimat sebab harga pun lebih murah berbanding di pasar raya luar sana,” katanya. 

Pesara swasta Sofia Sairi, 61, yang menetap di Subang Jaya turut mendapatkan barangan keperluan di Jualan Rahmah MADANI di sini turut menzahirkan ucapan penghargaan terhadap usaha kerajaan dalam mengurangkan beban kos sara hidup rakyat dengan menjual barangan dengan harga mampu milik. 

Antara barangan ditawarkan adalah minyak masak lima kilogram (kg) berharga RM21.90, beras lima kg RM15 dan 30 biji telur gred A pada harga RM10. 

Barangan lain yang ditawarkan termasuk sardin dalam tin, sos cili, kicap, minuman malt coklat (MILO) dan santan dalam kotak. 

Selain itu, Jualan Agro MADANI yang membekalkan produk segar, barang kawalan dan produk keperluan asas terpilih seperti sayur dan buah-buahan turut dilaksanakan Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan (KPKM) di program 2TM yang berlangsung selama tiga hari sehingga Ahad.

-- BERNAMA 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan