KUALA LUMPUR, 22 Nov (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) tidak menolak kemungkinan mendapatkan keterangan baharu daripada saksi sedia ada yang boleh memberi nilai tambah kepada siasatan kes kematian Teoh Beng Hock selepas mendapat perintah mahkamah, semalam.
Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata PDRM juga akan merujuk kepada Jabatan Peguam Negara bagi melengkapkan siasatan berhubung kes berkenaan.
“Kita memang telah tubuhkan USJT (Unit Siasatan Jenayah Terkelas) yang akan menjalankan dan lengkapkan siasatan berkenaan seperti arahan diberikan oleh mahkamah.
“Tempoh enam bulan yang diberikan untuk selesaikan siasatan ini juga boleh dicapai. Kita patuh dengan arahan ini tetapi perbincangan tentang keterangan-keterangan sedia ada dengan pihak Jabatan Peguam Negara sangat penting bagi polis untuk teruskan siasatan,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Majlis Perbarisan Tamat Latihan Program Latihan Asas Kepolisan (PLAK) 2024 di Pusat Latihan Polis (PULAPOL) Kuala Lumpur, di sini hari ini.
Majlis itu menghimpunkan sejumlah 1,747 pelatih PLAK Inspektor, Sarjan dan Konstabel dari empat PULAPOL iaitu Kuala Lumpur, Dungun, Terengganu, Bukit Sentosa, Selangor dan Segamat, Johor.
Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur semalam memerintahkan PDRM melengkapkan siasatan kes kematian Teoh Beng Hock dalam tempoh enam bulan.
Hakim Datuk Wan Ahmad Farid Wan Salleh (kini Hakim Mahkamah Rayuan) membuat perintah itu selepas membenarkan permohonan semakan kehakiman oleh ibu bapa mendiang Beng Hock terhadap Ketua Polis Negara (KPN), Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah PDRM, PDRM dan kerajaan Malaysia sebagai responden pertama hingga keempat.
Beng Hock ditemukan mati pada 16 Julai 2009 di tingkat lima bangunan Plaza Masalam, Shah Alam selepas memberi keterangan di pejabat Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) di tingkat 14 bangunan sama.
Mendiang yang ketika itu ialah Setiausaha Politik kepada Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Seri Kembangan Ean Yong Hian Wah yang juga Pengerusi Jawatankuasa Tetap Kerajaan Tempatan, Pemutihan Kilang Haram dan Pembangunan Kampung Baru Selangor.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial