JENAYAH & MAHKAMAH

Bakar Bunga Api Sehingga Dewan Terbakar, Dua Beradik Dihadap Ke Mahkamah

22/11/2024 03:19 PM

TELUK INTAN, 22 Nov (Bernama) -- Dua beradik didakwa di dua mahkamah berasingan di sini hari ini atas pertuduhan memiliki dan melakukan khianat dengan membakar bunga api sehingga menyebabkan kebakaran di Dewan Arena Square Teluk Intan pada 11 Nov lepas.

Jesan a/l John Mikela, 19, seorang penganggur mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini selepas pertuduhan itu dibacakan di hadapan Hakim Norhamizah Shaiffudin.

Remaja lelaki berkenaan didakwa melakukan perbuatan khianat dengan menggunakan bunga api dengan mengetahui mungkin menyebabkan kerosakan bangunan Dewan Arena Square kepunyaan Majlis Perbandaran Teluk Intan yang digunakan sebagai tempat untuk kegunaan awam.

Perbuatan itu didakwa dilakukan di Dewan Arena Square Jalan Raja Teluk Intan dalam daerah Hilir Perak kira-kira 11.29 malam pada 11 Nov.  

Jesan yang hadir ke mahkamah ditemani bapanya didakwa mengikut Seksyen 436 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara hingga 20 tahun, dan boleh dikenakan denda, jika sabit kesalahan.

Mahkamah membenarkan tertuduh diikat jamin RM3,000 dengan seorang penjamin serta syarat tambahan tertuduh perlu melapor diri di balai polis sebulan sekali.

Sementara itu, abang Jesan, Steven, 24, seorang pemandu lori mengaku tidak bersalah di Mahkamah Majistret di sini atas pertuduhan memiliki bahan letupan jenis happy boom assorted 138 shot dan happy boom red cracker 88 kira-kira 8.30 malam di lokasi dan tarikh sama.

Steven didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 8 Akta Bahan Letupan 1957 dan boleh dihukum di bawah seksyen sama yang jika sabit kesalahan boleh dikenakan hukuman penjara tujuh tahun atau denda tidak melebihi RM10,000 atau kedua-duanya sekali.

Majistret Naidatul Athirah Azman membenarkan tertuduh diikat  jaminan RM3,500 dengan seorang penjamin. Kedua-dua mahkamah menetapkan 20 Dis ini untuk sebutan semula kes. 

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Inspektor Nur Aina Liyana Mohd Talal dan Inspektor Nurul Farahdiana Md Saad manakala kedua-dua tertuduh diwakili peguam Faustina Francis.

Sebelum ini, media melaporkan dalam kejadian 11.38 malam, bumbung dewan Arena Square itu musnah terbakar dipercayai akibat bunga api yang dibakar pada satu majlis keraian di dewan itu. 

Penganjur telah menyewa dewan itu dan dipercayai menyediakan pelbagai jenis mercun serta bunga api untuk digunakan kira-kira 500 tetamu yang hadir.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan