AM

Konvensyen Nasional Perkhidmatan Awam 2024 Berakhir, Pengisian Padat Dengan Idea, Cadangan Baharu

24/11/2024 06:32 PM

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Konvensyen Nasional Perkhidmatan Awam Tahun 2024 yang berlangsung selama dua hari berakhir hari ini, dengan pengisiannya dilihat padat dengan forum yang bermatlamat menambah baik penyampaian perkhidmatan, meningkatkan kecekapan dan integriti perkhidmatan awam. 

Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar yang merasmikan majlis penutupannya hari ini menyifatkan lapan sesi forum dan satu sesi plenari sepanjang konvensyen berlangsung, sebagai padat dengan wacana idea dan cadangan baharu untuk mempertingkatkan prestasi perkhidmatan kerajaan. 

Beliau turut melancarkan Pekeliling Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) sebagai panduan bagi mempercepatkan pelaksanaan reformasi kerenah birokrasi ke arah pentadbiran lebih cekap, meningkatkan produktiviti, dan mengurangkan beban peraturan tidak wajar terhadap rakyat serta perniagaan.

Turut dilancarkan ialah Pekeliling Ujikaji Peraturan yang memberikan panduan kepada pengawal selia untuk menguji pendekatan baharu terhadap peraturan sedia ada untuk lebih inovatif, berkualiti tinggi dan relevan dengan keperluan semasa dalam menangani cabaran semasa yang kompleks.

"Kita akan terus mewacanakan reformasi menerusi konvensyen seterusnya yang lebih khusus dan berfokus kepada setiap lima teras reformasi ini iaitu nilai dan tatakelola, modal insan, pembangunan organisasi, penyampaian perkhidmatan dan sinergi awam swasta.

"Tahun 2025 ini saya mengharapkan komitmen yang sama malah lebih tinggi dalam kita menjayakan hasrat reformasi sebagaimana diaspirasikan oleh Perdana Menteri," katanya semasa berucap pada majlis penutupan konvensyen itu di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur di sini hari ini. 

Shamsul Azri berharap semua penjawat awam akan terus berusaha meningkatkan kecekapan dan produktiviti dengan memperkukuh nilai dan tatakelola, memperkasa bakat dalam organisasi, menyampaikan perkhidmatan yang lebih berkesan serta memanfaatkan kerjasama awam dan swasta untuk memacu Malaysia yang lebih maju, sejahtera, dan berdaya saing.

"Kehadiran dan komitmen semua mencerminkan tekad kita untuk mentransformasikan perkhidmatan awam agar lebih produktif, cekap, dinamik, inovatif, dan paling utama, berfokuskan rakyat.

"Hasrat saya dan seluruh kepimpinan adalah agar agenda reformasi ini tidak hanya gah di atas kertas atau di mulut kita sahaja tanpa sebarang tindakan, tetapi ia mesti terus diaplikasikan dalam penyampaian perkhidmatan kita," katanya. 

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang hadir di konvensyen itu semalam turut melancarkan Deklarasi Kuala Lumpur: Tekad Bersama Perkhidmatan Awam Malaysia, yang melambangkan komitmen kukuh untuk melaksanakan reformasi secara menyeluruh dari peringkat tertinggi hingga ke akar umbi pentadbiran negeri.

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan