AM

Penambahbaikan Birokrasi Kurangkan Kos Projek Pembangunan

24/11/2024 07:14 PM

Oleh NUR ATHIRAH MOHD SHAHARUDDIN

KUALA LUMPUR, 24 Nov (Bernama) -- Penambahbaikan birokrasi melalui Reformasi Kerenah Birokrasi (RKB) mampu mengurangkan kos dalam pelaksanaan sesuatu projek pembangunan, kata Ketua Setiausaha Kementerian Ekonomi, Datuk Nor Azmie Diron.

Birokrasi yang tidak terkawal akan menyebabkan penambahan kos terhadap pemain industri, sama ada swasta mahupun kerajaan, katanya.

"Fungsi kerajaan adalah untuk memudahkan perkhidmatan (proses pelaksanaan) dalam satu tempoh yang wajar supaya sesebuah projek itu dapat dilaksanakan pada tempoh yang ditetapkan," katanya kepada Bernama selepas sesi forum Program Dua Tahun Kerajaan MADANI (2TM) dan Pelaksanaan Reformasi Kerenah Birokrasi dan Uji Kaji Peraturan.

Terdahulu, semasa sesi forum itu beliau berkata birokrasi dalam sesebuah agensi kerajaan seharusnya ditambahbaik bagi mengurangkan kos pelaksanaan projek-projek, kerana peningkatan kos dalam proses pelaksanaan projek pembangunan akan menjejaskan ekonomi negara. 

RKB merupakan inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan Malaysia untuk menyemak termasuk menambah baik peraturan-peraturan serta proses birokrasi yang membebankan perniagaan dan rakyat. 

Tujuan utama RKB adalah untuk mengurangkan kerenah selain bebanan birokrasi yang tidak lagi relevan, menjadikan urusan lebih mudah dan efisien, sekaligus memacu pertumbuhan ekonomi negara.

Selain itu, pakar amalan baik peraturan, Dr Izhar Che Mee berkata inisiatif yang diperkenalkan oleh kerajaan iaitu RKB dan juga Uji Kaji Peraturan dilihat sebagai satu usaha bagi memodenkan peraturan-peraturan yang sedia ada.

Tambahnya, ia juga dilihat memberikan isyarat yang positif kepada ahli perniagaan sama ada di dalam atau luar negara bahawa adanya peluang untuk memudah cara atau menggalakkan aktiviti inovasi berlaku dengan lebih cepat di Malaysia 

Perkembangan inovasi yang berlaku dalam sektor swasta bukan sahaja mampu membantu mereka untuk terus berkembang, ia sekaligus dapat mewujudkan peluang pekerjaan.

Bagaimanapun, katanya bagi membantu sektor swasta untuk terus berkembang, ia memerlukan bantuan dari pihak kerajaan dalam menyediakan maklumat atau dokumentasi yang lebih terperinci mengenai langkah yang boleh diambil oleh pihak swasta.

“Selain itu, kita (kerajaan) juga perlu mengenal pasti sama ada syarikat yang perlu dibantu ini berkemahiran dan berpengetahuan untuk dibantu,” katanya.

Sementara itu, beliau berkata ketika proses Uji Kaji Peraturan dijalankan, pihak pengurusan perlulah menggunakan budi bicara sewajarnya bagi memastikan proses itu berjalan lancar. 

“Jika kita sentiasa meletakkan peraturan dihadapan, uji kaji peraturan tidak dapat dilakukan (dengan baik)...mengakibatkan (kebarangkalian) pulangan pelaburan Malaysia akan kosong. Oleh itu, uji kaji yang menyeluruh perlu dilakukan bagi menghasilkan impak yang lebih besar,” katanya ketika sesi forum. 

Beliau berkata, jika Malaysia berharap untuk menjadi hab digital, negara ini memerlukan uji kaji yang menyeluruh dengan melibatkan semua peringkat seperti kementerian, agensi, badan berkanun dan pihak-pihak lain.

“Sebab itu Singapura mampu menjadi hab FIntech kerana mereka turut membuat medan ujian (fungsinya) sama seperti Uji Kaji peraturan,” tambahnya.

RBK dan Uji Kaji Peraturan dirangka untuk memandu agensi kerajaan dalam melaksanakan reformasi secara berstruktur serta berkesan sekaligus mengurangkan beban peraturan yang tidak wajar, mempercepatkan proses kelulusan, dan meningkatkan daya saing negara.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan