AM

Tujuh Keluarga Mohon Bantuan Rumah, Tidak Sanggup Menetap Hampir Dua Bulan Di PPS

24/11/2024 08:09 PM

PASIR MAS, 24 Nov (Bernama) -- Tujuh keluarga yang menetap di Kampung Bendang Perol, Rantau Panjang, dekat sini memohon agar kerajaan negeri menyegerakan bantuan pemindahan mereka ke kawasan lebih selamat kerana tidak sanggup menetap di pusat pemindahan banjir (PPS) setiap kali banjir berlaku.

Mangsa banjir Mek Yam Ahmad, 81, berkata keadaan dirinya yang sudah uzur dan hanya mampu mengesot menyebabkannya tidak sanggup berulang-alik ke PPS setelah lebih 20 tahun berdepan masalah sama.

"Kami pernah diberitahu akan dibantu dipindahkan ke kawasan lain tahun lepas, namun setakat ini tiada perkembangan terbaharu yang kami terima.

"Kalau ikutkan saya sudah tidak larat untuk menetap di PPS kerana sudah uzur, namun kami tiada pilihan lain," katanya kepada Bernama di PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Gual To' Deh, di sini hari ini.

Mek Yam yang menetap bersama anak bongsunya berkata rumahnya dan rumah enam anak terletak di kawasan tanah rendah menyebabkan mereka kumpulan pertama akan berpindah ke PPS dan yang terakhir pulang ke rumah setiap kali bencana itu berlaku.

Katanya, setiap tahun keluarga mereka akan menanggung kerugian kerana kesemua perabot dan peralatan rumah akan rosak ditenggelami banjir.

"Kami telah bina loteng untuk simpan barang, tetapi selepas projek pembinaan benteng dibuat, paras air tetap tinggi sehingga bumbung maka semuanya tidak dapat diselamatkan," katanya.

Sementara itu, Kamarudin Setapa, 56, yang senada dengan Mek Yam berkata setiap kali banjir semua barangan elektrik di rumahnya rosak termasuk enjin air menyebabkan dia terpaksa mengeluarkan kos membeli semula keperluan itu.

"Saya tiada tempat lain untuk berpindah selain terus menetap di tanah pusaka peninggalan rumah ayah. Oleh itu, saya memohon agar kerajaan negeri menyegerakan bantuan, seperti datang ke rumah kami," katanya.

Tujuh keluarga yang terdiri daripada 32 orang itu ialah kumpulan pertama yang dipindahkan ke PPS bagi jajahan Pasir Mas pagi tadi selepas kawasan kediaman meraka dinaiki air kira-kira 1.5 meter.

Sementara itu, tinjauan Bernama mendapati beberapa kampung di kawasan rendah berdekatan Sungai Golok sudah digenangi air termasuk Kampung Terusan, Kampung Lanchang, Kampung Gual To' Deh dan Kampung Perol.

Paras air di semua kampung berkenaan ialah kira-kira 0.5 meter dan penduduk masing-masing telah membuat persiapan awal termasuk memindahkan kenderaan dan haiwan ternakan ke kawasan yang lebih tinggi.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan