AM

Kerajaan Johor Kenal Pasti 77 Lokasi Sesak Di Kawasan Greater JB

25/11/2024 01:45 PM

ISKANDAR PUTERI, 25 Nov (Bernama) -- Jawatankuasa Khas Penyuraian Trafik telah mengenal pasti 77 hotspot atau kawasan panas kesesakan di Kawasan “Greater” Johor Bahru (JB), persidangan Dewan Undangan Negeri Johor diberitahu di sini hari ini.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan, Infrastruktur dan Komunikasi negeri Mohamad Fazli Mohammad Salleh berkata pelan penyelesaian jangka pendek, sederhana dan panjang dilaksanakan bagi mengatasi isu kesesakan di kawasan berkenaan.

Beliau berkata langkah itu perlu bagi memastikan kewujudan dan operasi Stesen Laluan Sistem Transit Rapid (RTS) memberi impak bukan sahaja dari aspek ekonomi, sosial dan teknologi, tetapi turut menyelesaikan kesesakan di Greater JB.

“Bagi penyelesaian jangka masa pendek, pengurusan semula lalu lintas telah dibuat di beberapa kawasan, seperti bantuan pihak polis trafik untuk membuat kawalan, pembukaan dan penutupan jalan serta penggunaan flexible post bagi mengelak kenderaan yang memotong barisan di persimpangan,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika menjawab soalan Marina Ibrahim (DAP-Skudai) mengenai jaminan kerajaan negeri bagi memastikan trafik di sekitar bandar raya Johor Bahru serta seluruh Greater JB tidak akan terbeban dengan projek RTS.

Dalam pada itu, Mohd Fazli berkata beberapa projek membabitkan pelebaran serta naik taraf jalan dengan kos peruntukan keseluruhan lebih RM1.28 bilion akan siap pada 2026 dan 2027 menjelang pengoperasian RTS, dan dijangka dapat menyelesaikan penyuraian trafik di kawasan Greater JB dan sekitarnya.

“Antaranya projek menaik taraf dan membina Jalan Baru di Jalan Gelang Patah, (J4) dari persimpangan Kompleks CIQ Gelang Patah sehingga persimpangan empat lampu isyarat Tanjung Pelepas (kos RM62.5 juta bermula 2020 yang dijangka siap pada 2026).

“Selain itu, projek lain ialah menaik taraf Lebuhraya Pasir Gudang (FT17), Johor–Fasa 2B dan persimpangan Bandar Seri Alam/Taman Rinting Ke Pasir Gudang (kos RM78 juta, bermula 2023 dan dijangka siap 2026) dan projek persimpangan bertingkat dari EDL–Pusat Bandar Johor Bahru–Stulang Laut (kos RM371.7 juta, bermula tahun ini dan dijangka siap 2028),” katanya.

Mohd Fazli berkata projek lain yang dijangka siap pada 2026 ialah projek menaik taraf Lebuhraya Senai Desaru (SDE) daripada dua lorong dua hala kepada empat lorong dua hala sepanjang 9.4 kilometer dengan kos RM160 juta yang bermula pada tahun ini serta projek pembinaan directional ramp di persimpangan SDE, Bandar Penawar dengan kos RM86.6 juta dan telah bermula sejak 2022.

Beliau berkata bagi jangka masa sederhana dan panjang, beberapa projek dan inisiatif berskala besar turut dirancang antaranya pembangunan koridor-koridor pengangkutan awam, iaitu Koridor Utara (KTM–komuter), Koridor Utara (Skudai), Koridor Barat (Iskandar), Koridor Timur (Tebrau) dan Koridor Timur–Barat (KTM).

“Selain pembangunan koridor pengangkutan awam, projek yang melibatkan infrastruktur, seperti pembinaan persimpangan baharu, pembinaan jalan baharu serta pelebaran jalan raya termasuklah projek pelebaran Lebuhraya Utara Selatan dan SDE, telah disusun berdasarkan unjuran pembangunan semasa negeri ini,” katanya.

Sementara itu, Mohd Fazli berkata RTS yang dijangka siap pada 2026 dan mula beroperasi pada 2027 akan membantu mengurangkan jumlah kenderaan di Tambak Johor yang kini sering mengalami kesesakan teruk.

“Dengan laluan pengangkutan yang lebih cepat, kita jangkakan 20 peratus pengguna yang sebelum ini menggunakan kenderaan persendirian mungkin akan beralih kepada RTS.

“RTS yang menghubungkan antara Johor Bahru dengan Singapura dijangka membawa manfaat besar kepada penduduk pekerja dan pengunjung yang melintas antara kedua-dua negara,” katanya.

Namun, katanya sekiranya tiada perancangan yang teliti, projek yang baik seperti RTS ini bukan sahaja tidak menjadi pilihan, malah kesesakan juga akan bertambah teruk.

-- BERNAMA

 

 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan