AM

Tiada Syarat Baharu Warga Emas Perbaharui Lesen - JPJ

25/11/2024 04:20 PM

TELUK INTAN, 25 Nov (Bernama) -- Belum terdapat sebarang ketetapan berhubung warga emas berusia 65 tahun ke atas perlu menjalani penilaian kompetensi dan kesihatan sebelum memperbaharui Lesen Memandu Malaysia (LMM).

Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Datuk Aedy Fadly Ramli berkata perkara itu masih dalam perancangan peringkat dasar Kementerian Pengangkutan (MOT). 

Sehubungan itu beliau berkata tiada perubahan dalam proses pembaharuan lesen memandu bagi warga emas dan masih tertakluk kepada syarat JPJ sedia ada. 

"Kita masih benarkan warga emas memandu kenderaan dan tidak mengenakan sebarang syarat atau ujian lain, namun JPJ dan MOT sedang meneliti perancangan akan datang berkaitan isu ini selepas kajian dan penelitian daripada MOT," katanya pada sidang media selepas merasmikan Majlis Penutup Program MyLesen 2024 JPJ Negeri Perak dekat sini hari ini.

Aedy Fadly berkata demikian bagi mengulas isu kerelevanan pemandu berusia 65 tahun melakukan penilaian kompetensi dan kesihatan sebelum memperbaharui LLM.

Sementara itu, Program MyLesen peringkat Perak memberi manfaat kepada 2,595 penerima yang terdiri daripada golongan B40 dan belia melibatkan lesen motosikal (Kelas B2) sebanyak 2,500 orang, Lesen Memandu Barangan (GDL) untuk lori (40), Lesen Kenderaan Perkhidmatan Awam (PSV) (30) dan e-hailing seramai 25 peserta. 

Aedy Fadly selain itu berkata penggunaan kamera Sistem Penguatkuasaan Automatik (AES) di Kilometer 265.8 Lebuhraya Utara-Selatan (PLUS) berhampiran Terowong Menora berjaya mengurangkan risiko kemalangan jalan raya dengan tahap pematuhan had laju dibenarkan didapati mencecah 99 peratus.

"Statistik kita juga mendapati selepas pemasangan kamera di kedua-dua arah ini tiada lagi berlakunya kemalangan dan terus menjadi sifar apabila orang ramai patuh dengan memperlahankan kenderaan mereka," katanya. 

Menurut Aedy Fadly, penguatkuasaan adalah antara cara mendidik orang ramai supaya memandu mengikut had laju ditetapkan bagi mengurangkan kadar kemalangan. 

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan