AM

Sarawak Lakukan Kemajuan Ketara Dalam CCUS - Abang Johari

25/11/2024 05:06 PM

KUCHING, 25 Nov (Bernama) -- Sarawak sedang mencapai kemajuan ketara dalam pemerangkapan, penggunaan dan penyimpanan karbon (CCUS) untuk meletakkan negeri itu sebagai pusat CCUS bagi rantau Asia Pasifik, kata Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg.

Bagi merealisasikannya, Sarawak komited mewujudkan empat tapak penyimpanan karbon menjelang 2030, memacu inovasi CCUS untuk menyahkarbon industri utama dan menyumbang kepada sasaran karbon sifar bersih rantau ini menerusi pelantikan Petroleum Sarawak Bhd (Petros) sebagai pengurus sumber CCUS .

“Pada Februari tahun ini, Petros memeterai perjanjian tapak penyimpanan dengan Petroliam Nasional Bhd (Petronas) melalui anak syarikatnya CCS Ventures dan pihak konsortium Jepun untuk medan tersusut M3 di luar pesisir Sarawak.

“Pada Julai 2024, kami melancarkan Pusingan Bidaan Sarawak, menawarkan tiga tapak penyimpanan karbon dengan anggaran jumlah kapasiti penyimpanan 1,000 juta tan CO2,” katanya ketika menyampaikan ucaptama pada Sidang Kemuncak Pelan Hala Tuju Gas Sarawak di sini hari ini.

Abang Johari berkata usaha itu seiring dengan Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR) dilancarkan tahun lepas bagi mengenal pasti CCUS sebagai salah satu daripada enam tuas peralihan tenaga kritikal, dijangka mewujudkan lebih 200,000 pekerjaan dan kira-kira RM250 bilion dalam nilai kasar untuk 30 tahun akan datang.

Pada 11 November lepas, ketika pembentangan Belanjawan Sarawak 2025 pada persidangan Dewan Undangan Negeri (DUN), Abang Johari berkata RM11 juta akan diperuntukkan untuk Pelan Karbon Sifar Bersih Sarawak dan menguatkuasakan Ordinan Alam Sekitar (Pengurangan Pembebasan Gas Rumah Hijau) 2023 bertujuan mencapai pelepasan sifar bersih.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan