AM

KPM Lancar Kit Duta Sahsiah Bantu Sekolah Bangunkan Pendidikan Karakter Pelajar 

25/11/2024 06:30 PM

KUALA LUMPUR, 25 Nov (Bernama) -- Kementerian Pendidikan (KPM) hari ini melancarkan Kit Duta Sahsiah, satu inisiatif kerajaan untuk membangunkan pendidikan karakter pelajar bagi menangani isu disiplin di sekolah.

Pelancaran kit secara serentak di seluruh negara melibatkan 10,235 sekolah, 146 Pejabat Pendidikan Daerah (PPD), 16 Jabatan Pendidikan Negeri dan hampir lima juta murid itu disempurnakan oleh Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek di HGH Convention Centre Sentul di sini. 

Fadhlina ketika berucap pada majlis itu berkata inisiatif berkenaan ialah kesinambungan kepada usaha KPM dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang memperkenalkan program Duta Sahsiah Pemangkin Pembentukan Karakter Karamah Insaniah pada Oktober tahun lepas.

“Peluncuran Kit Duta Sahsiah ialah satu inisiatif bertujuan memperkasakan murid yang telah dilantik sebagai duta sahsiah, iaitu individu yang mempunyai teladan positif dalam mempromosikan nilai-nilai murni, seperti disiplin, integriti dan tanggungjawab bagi mempengaruhi rakan sebaya dalam komuniti mereka.

“Ia disediakan dengan perancangan yang teliti dan mengandungi pelbagai modul latihan dan bahan rujukan yang meliputi aspek komunikasi, kepimpinan dan penyelesaian masalah,” katanya.

Selain itu, Fadhlina berkata terdapat juga alat bantu, seperti poster, risalah dan kad aktiviti yang boleh digunakan untuk mendekati komuniti pelajar secara kreatif dan berkesan.

Oleh itu, beliau berharap dengan peluncuran kit berkenaan, pelajar akan menjadikan nilai-nilai, seperti integriti, tanggungjawab dan rasa hormat sebagai asas dalam setiap tindakan dan keputusan mereka, lebih-lebih lagi dalam keadaan gejala sosial yang semakin meluas.

“Sebagai Menteri Pendidikan, saya amat terkesan dengan isu-isu yang mencengkam kehidupan anak-anak kita termasuk kes bunuh diri, kesihatan mental, buli dan amang seksual. 

“Fenomena ini bukanlah perkara baharu, tetapi teknologi maklumat dan media sosial telah memperbesar pengaruhnya dan perubahan ini menuntut kita supaya tidak memandang gejala ini dengan cara lama semata-mata,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti Datuk Wan Hassan Wan Ahmad dalam ucapannya berkata PDRM menyokong sepenuhnya inisiatif kit itu bagi memberi aspirasi dan pengaruh yang baik kepada pelajar.

Beliau berkata pada peringkat PDRM sendiri, pihaknya telah menghasilkan modul kesedaran jenayah terhadap kanak-kanak dan remaja, seperti berkaitan kesalahan seksual dan gengsterisme sekali gus diharap dapat melengkapkan inisiatif berkenaan. 

-- BERNAMA 

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan