ALOR SETAR, 25 Nov (Bernama) -- Kerajaan Kedah disaran menubuhkan pasukan penilai untuk meneliti kemampuan setiap syarikat swasta yang berhasrat melaksanakan projek pembangunan di negeri itu.
Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri (DUN) Kedah Bau Wong Bau Ek berkata dengan adanya pasukan itu, syarikat lemah atau pun ‘penipu’ dapat dikesan, bagi mengelakkan berlakunya projek terbengkalai.
“Pasukan penilai ini perlu cekap dan berintegriti bagi membolehkan penilaian dibuat dengan tepat dan berkesan,” katanya semasa membahaskan ucapan Belanjawan Kedah 2025 pada persidangan DUN di Wisma Darul Aman di sini hari ini.
Beliau yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sidam berkata Kedah juga memerlukan sebuah organisasi yang boleh menonjolkan negeri itu sebagai destinasi pelancongan menarik.
“Selain itu, pihak swasta sesuai dilantik memajukan sesuatu kawasan atau produk pelancongan kerana kos akan ditanggung pihak berkenaan. Harapan saya amat tinggi melihat Kedah muncul antara penyumbang utama ekonomi Malaysia terutama dari sudut pelancongan,” katanya.
Bau Wong berkata usaha Kerajaan Perpaduan ke arah memupuk keharmonian dalam kalangan rakyat pelbagai latar belakang dan taraf sosioekonomi, merupakan agenda penting demi kelangsungan sebuah negara yang aman, stabil, harmoni dan sejahtera.
“Rentetan kepada isu mengibarkan bendera negara luar yang berlaku baru-baru ini, ada segelintir pihak yang sengaja mengambil kesempatan untuk memecahbelahkan perpaduan dan mengeruhkan lagi keadaan. Walaupun kejadian ini berlaku di luar (Kedah), diharapkan perkara ini tidak berlaku di negeri ini,” katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial