AM

KPKT Bina, Baik Pulih 5,000 Unit Rumah Sejak 2023

26/11/2024 06:28 PM

KUALA LUMPUR, 26 Nov (Bernama) -- Kementerian Perumahan dan Kerajaan Tempatan (KPKT)  komited dalam memastikan kesejahteraan rakyat dengan pembinaan baharu dan membaik pulih 5,000 unit rumah sejak 2023.

Menterinya Nga Kor Ming berkata inisiatif berkenaan, melibatkan peruntukan sekurang-kurangnya RM91.15 juta, dengan RM40.81 juta pada tahun lepas dan meningkat kepada RM50.34 juta tahun ini.

“Bagi tahun 2025, Kerajaan MADANI akan memperuntukkan hampir RM60 juta untuk tujuan membaik pulih rumah usang dan daif, serta membina rumah baharu bagi mengatasi kemiskinan bandar.

“Melalui visi Shelter for All, KPKT bersama agensi seperti Syarikat Perumahan Negara Berhad (SPNB) giat merealisasikan usaha membina dan membaik pulih rumah bagi golongan yang memerlukan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata inisiatif berkenaan menjadi bukti dedikasi Kerajaan MADANI pimpinan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim untuk memastikan setiap rakyat mempunyai kediaman yang selamat dan selesa.

Pada Ahad lepas, Nga melakukan tinjauan ke rumah-rumah usang dan daif di Menglembu, Perak serta bertemu seorang warga emas Law Chee Yau, 80, yang menerima manfaat berkenaan.

Kenyataan itu memaklumkan Law yang ditemui bersama isterinya mengucapkan terima kasih kepada Nga dan memberitahu mereka berpuas hati dengan reka bentuk rumah yang diberikan oleh SPNB, selain melahirkan rasa syukur atas keprihatinan Kerajaan MADANI.

Nga berkata rumah baharu untuk Law dijangka siap sepenuhnya dalam masa dua bulan sebelum sambutan Tahun Baharu Cina 2025.

“Projek Rumah Mesra Rakyat (RMR) ini bukan sahaja mencerminkan keprihatinan kerajaan terhadap golongan berkeperluan, tetapi juga menjadi lambang komitmen berterusan KPKT dalam mengangkat martabat kehidupan rakyat Malaysia,” katanya.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan