KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi merakamkan ucapan takziah kepada keluarga Penolong Pengarah Seksyen Perhubungan Antarabangsa, Jabatan Penyiaran Malaysia (RTM) Khairul Azli Rahim, yang meninggal dunia hari ini.
Ahmad Zahid menerusi hantaran di Facebook menyifatkan pemergian Allahyarham sebagai satu kehilangan besar kepada dunia penyiaran negara.
“Saya turut merasa sedih atas berita pemergian ini, kerana saya mengenali Allahyarham ketika kami bersama menjalankan tugasan. Saya mendoakan agar keluarga dan sahabat handai beliau dikurniakan kekuatan serta ketabahan untuk menghadapi ujian yang berat ini.
“Allahyarham yang pernah bertugas di Bilik Berita TV sebagai wartawan dan editor, dikenali sebagai seorang yang berdedikasi, komited dan amat disenangi oleh rakan-rakan sekerjanya,” kata beliau.
Beliau berkata sumbangan Allahyarham sepanjang bertugas sentiasa meninggalkan kesan positif kepada mereka di sekelilingnya dan legasi kerja kerasnya akan terus dikenang.
“Semoga roh Allahyarham dicucuri rahmat oleh Allah SWT, diampunkan segala dosanya dan ditempatkan dalam kalangan hamba-Nya yang beriman dan beramal soleh. Al-fatihah,” kata beliau.
Khairul Azli Rahim meninggal dunia di Unit Rawatan Rapi Hospital Kuala Lumpur (HKL) pada 5.16 petang tadi pada usia 45 tahun akibat pendarahan otak, selepas dimasukkan ke hospital pada 25 Nov lepas.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial