AM

Pengurusan Kebajikan 128 Rakyat Palestin Diserah Kepada Ops Ihsan

28/11/2024 10:35 AM

KUALA LUMPUR, 27 Nov (Bernama) -- Pengurusan kebajikan 128 rakyat Palestin yang dibawa ke Malaysia pada 16 Ogos lepas untuk menerima rawatan perubatan diserahkan kepada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) Ops Ihsan yang berpengalaman menguruskan hal ehwal migran di negara ini.

Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan Datuk Lokman Hakim Ali berkata daripada jumlah itu, seramai 41 adalah pesakit yang telah selesai menerima rawatan penyembuhan di Hospital Angkatan Tentera selama tiga bulan dari 16 Ogos hingga 16 Nov serta 87 waris mereka termasuk seorang bayi baru dilahirkan pada 31 Okt lepas yang menginap di Wisma Transit di sini.

Beliau berkata Kementerian Pertahanan menjalinkan kerjasama rapat dengan Ops Ihsan untuk memastikan semua rakyat Palestin yang keluar dari Wisma Transit diberi perhatian serta kebajikan mereka dijaga selain dibantu oleh pihak kedutaan Palestin dan Mesir.

“Hari ini secara rasmi kita menyerahkan 128 rakyat Palestin yang telah kita bantu untuk dirawat di Malaysia dan selepas ini, mereka akan meneruskan kehidupan di luar Wisma Transit dengan bantuan daripada Ops Ihsan.

“Bagi mereka yang ingin pulang ke Mesir, kita sedang berusaha menguruskan dokumen serta proses perjalanan tersebut dengan kedutaan Mesir di Malaysia,” katanya kepada pemberita selepas majlis itu di sini hari ini.

Turut hadir Ketua Staf Markas ATM Leftenan Jeneral Datuk Arman Rumaizi Ahmad, Duta Besar Mesir ke Malaysia Ragai Tawfik Said Nasr, Wakil Kedutaan Palestin di Malaysia Yusof Al Madhon, Pengerusi Ops Ihsan Jismi Azhari Johari serta para pegawai kanan Kementerian Pertahanan dan Angkatan Tentera Malaysia.

Kementerian Pertahanan dalam kenyataan hari ini pula memaklumkan 41 pesakit rakyat Palestin terbabit telah menerima rawatan meliputi ortopedik (tulang), pediatrik (kanak-kanak) serta obstetrik dan ginekologi (sakit puan).

“Penyerahan kepada Ops Ihsan adalah sebagai langkah penambahbaikan pascarawatan ke atas rakyat Palestin untuk memastikan mereka dapat menjalani kehidupan yang lebih praktikal, berasimilasi dan dapat menyesuaikan diri dengan budaya masyarakat tempatan,” menurut kenyataan itu.

Ops Ihsan adalah hasil kerjasama organisasi utama yang bertindak sebagai penyelaras terdiri daripada Malaysian Humanitarian Aid and Relief, Global Peace Mission Malaysia, Red A Humanitarian Development Global, MERCY Malaysia, Pertubuhan Ihsan Johor, BeVital dan Majlis Perundingan Pertubuhan Islam Malaysia sebagai penyelaras utama selain sokongan tambahan daripada 50 NGO lain.

Pada 4 Ogos lepas, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Perhimpunan Solidariti Palestin di Bukit Jalil telah mengumumkan bahawa Malaysia memutuskan untuk membawa orang awam Palestin yang cedera bagi mendapatkan rawatan di negara ini.

Dua pesawat Airbus A-400M Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) telah menerbangkan 127 orang awam Palestin yang cedera dari Mesir ke Pangkalan Udara TUDM Subang pada 16 Ogos lepas.

-- BERNAMA


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan