ALOR SETAR, 28 Nov (Bernama) -- Kerajaan Persekutuan sedang membangunkan sistem ramalan dan amaran banjir (PRAB), yang melibatkan pembinaan serta penaiktarafan 140 stesen telemetri pemantauan banjir di seluruh Kedah.
Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Sumber Asli, Bekalan Air, Sumber Air dan Alam Sekitar Kedah, Mohamad Yusoff@Munir Zakaria berkata projek yang dilaksanakan melalui Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) itu melibatkan kos sebanyak RM10.8 juta.
“JPS juga bekerjasama dengan agensi-agensi pusat seperti Jabatan Meteorologi Malaysia dan Angkatan Pertahanan Awam (APM) bagi memberikan amaran cuaca dan status air semasa sungai-sungai utama di Kedah.
“JPS juga turut menerima peruntukan Program Pembangunan Sistem Hidrologi dan Pemantauan Alam Sekitar dari Kerajaan Negeri sebagai satu daripada inisiatif mengurangkan risiko kerugian harta benda dan nyawa ketika berlakunya banjir,” katanya pada sesi soal jawab lisan di persidangan Dewan Undangan Negeri Kedah, di sini hari ini.
Beliau menjawab soalan Dr Mohd Suffian Yusoff (PN-Bandar Baharu) mengenai status projek tebatan banjir, penyelenggaraan sistem perparitan, langkah mitigasi, teknologi ramalan cuaca, pusat pemindahan dan kerjasama antara agensi dalam menghadapi bencana banjir.
Mohamad Yusoff@Munir Zakaria dari JPS Kedah berkata, pihaknya telah melakukan pelbagai persiapan dan melaksanakan beberapa langkah dalam menghadapi bencana banjir, termasuk mewujudkan bilik gerakan pemantauan banjir untuk memberi amaran awal mengenai kenaikan paras air.
Katanya, kerja-kerja pemuliharaan sungai bagi mengurangkan risiko banjir di seluruh Kedah juga sedang dilaksanakan, dengan sebanyak RM4.5 juta diperuntukkan oleh kerajaan negeri pada tahun ini bagi tujuan tersebut.
Sementara itu, beliau meminta rakyat Kedah yang terjejas banjir ketika ini agar tidak menunggu saat akhir untuk berpindah ke tempat selamat.
“Jangan tunggu air dah sampai paras dada baru kalut nak telefon polis, bomba, APM...dengan logistik yang agak terhad jadi menimbulkan masalah bila terima banyak panggilan, jadi kita sendiri kena bersedia,” katanya.
Setakat 8 pagi tadi, seramai 569 penduduk terdiri daripada 197 keluarga dari daerah Kubang Pasu dan Sik dipindahkan ke tujuh pusat pemindahan sementara di negeri ini.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial