KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Kementerian Pengangkutan menubuhkan Jawatankuasa Semakan Undang-undang Maritim Malaysia (MLRC) untuk menyemak dan mengemas kini Ordinan Perkapalan Saudagar (MSO) 1952 dan akta-akta pelabuhan yang berkaitan.
Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata tindakan itu bertujuan memastikan undang-undang tersebut kekal relevan dan berkesan dalam menghadapi perubahan amalan industri, piawaian antarabangsa serta perjanjian maritim.
Beliau berkata MSO 1952 dan akta-akta pelabuhan perlu dikemas kini terlebih dahulu sebelum pihaknya mengkaji untuk merangka dasar perkapalan dan pelan induk maritim negara.
“Pindaan-pindaan ke atas MSO 1952 dan akta-akta pelabuhan memerlukan tindakan segera dan akan dibawa ke Parlimen dengan kadar segera...kita akan bawa ke Parlimen tahun depan.
“Ini adalah sebahagian usaha kita untuk merombak sektor perkapalan negara. Kita memerlukan satu dasar yang memandu pergerakan dan pertumbuhan sektor ini, dan mesti disokong oleh undang-undang yang relevan,” katanya ketika ditemui pemberita selepas menyampaikan ucapan khas pada Persidangan Undang-undang dan Perniagaan Maritim Asia di sini, pada Khamis.
SO 1952 ialah instrumen perundangan Malaysia bagi tadbir urus aktiviti maritim seperti pendaftaran dan pelesenan kapal, kelayakan pelaut, piawaian keselamatan, dan perkara lain yang berkaitan dengan perkapalan saudagar.
Akta-akta pelabuhan yang terdiri Akta Pihak Berkuasa Pelabuhan 1963, Akta Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang 1955 dan Akta Pelabuhan-Pelabuhan (Penswastaan) 1990, adalah perundangan yang menetapkan pihak-pihak berkuasa pelabuhan untuk mentadbir pelabuhan tertentu dan memudahkan pemindahan tanggungjawab pelabuhan kepada pengendali pelabuhan berlesen.
Loke berkata MLRC dijangka menyelesaikan tugasnya dalam tempoh 12 bulan, dan telah mula menyemak dan mengemas kini perundangan perkapalan dan maritim Malaysia sejak bulan lepas.
“MSO 1952 kini terpakai bagi Semenanjung Malaysia dan Wilayah Persekutuan Labuan. Pindaan terkini ke atas MSO 1952 telah diluluskan oleh Parlimen pada 2017 dan masih belum berkuat kuasa, sementara menunggu penggubalan beberapa undang-undang subsidiari.
“Beberapa perkara dalam MSO 1952 telah diperluas ke atas Sabah dan Sarawak serta telah diterima, ia juga menjadi sebahagian daripada Ordinan Perkapalan Saudagar 1960 (Sabah) dan Ordinan Perkapalan Saudagar 1960 (Sarawak),” katanya.
Beliau berkata kerajaan negeri Sabah dan Sarawak masih belum memberikan persetujuan terhadap semakan penting seperti rejim liabiliti sivil untuk insiden maritim.
Enakmen bagi akta-akta pelabuhan berkaitan selepas MSO 1952 telah mengakibatkan bidang kuasa yang tidak konsisten dan bertindih, sekali gus menjejaskan tadbir urus pelabuhan yang berkesan, katanya.
“Oleh itu, semakan akta-akta pelabuhan itu serta MSO 1952 memberi peluang untuk memperjelas bidang kuasa antara Pihak Berkuasa Pelabuhan dan Pegawai Pelabuhan yang bertindak di bawah arahan Pengarah Laut.
“Semakan itu juga menawarkan peluang untuk semakan ke atas rangka kerja perundangan dan institusi bagi tadbir urus perkapalan dan maritim untuk membuat keputusan dasar yang berkesan,” katanya.
Ketika ditanya mengenai status dan perkembangan mengenai Pelan Induk Perkapalan Malaysia (MSMP), Loke berkata beliau akan memberi tumpuan kepada pengemaskinian undang-undang sedia ada.
Beliau berkata terdapat keperluan untuk menyemak dan menambah baik perundangan sedia ada daripada terlalu menumpukan pelan tindakan itu.
“Kita tidak mahu bercakap terlalu banyak mengenai pelan tindakan dan sebagainya, sebaliknya kita perlu menyemak undang-undang (sedia ada) dengan segera, kerana apabila kita ada terlalu banyak pelan tindakan, fokus jadi tidak sampai. Oleh itu, fokus kita adalah memastikan undang-undang ini dapat ditambah baik terlebih dahulu.
“Persatuan undang-undang maritim juga sering kali mengatakan undang-undang kita telah lapuk dan tidak mampu seiringan dengan perkembangan ekonomi semasa. Jadi, kita mahu mempercepat pindaan ini,” katanya.
Terdahulu, Loke berkata pindaan itu penting untuk membolehkan objektif dasar pengangkutan maritim tercapai dan sebagai teras bagi sektor logistik kerana lebih 90 peratus daripada jumlah perdagangan antarabangsa bagi barangan dibawa melalui laut.
“Pengangkutan maritim Malaysia menyumbang kira-kira 96 peratus kepada perdagangan antarabangsa kita, yang telah meletakkan asas untuk peranan aktif sebagai negara perdagangan utama,” katanya.
Nilai perdagangan Malaysia meningkat 9.3 peratus kepada RM2.38 trilion dalam tempoh 10 bulan 2024 berbanding angka yang dicatatkan semasa tempoh yang sama pada 2023.
Eksport naik 4.8 peratus kepada RM1.24 trilion, dan import meningkat 14.6 peratus kepada RM1.14 trilion, menjadikan lebihan dagangan sebanyak RM102.77 bilion.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial