Oleh Ahmad Erwan Othman
KUALA LUMPUR, 28 Nov (Bernama) -- Kewujudan pelbagai portal berita di media sosial dengan liputan yang semakin meluas menyebabkan usaha menangani berita tidak sahih semakin mencabar dan berisiko menggugat kedudukan media arus perdana sebagai sumber maklumat tepat.
Wartawan merupakan individu yang memberitakan atau melaporkan tentang sesuatu perkara atau peristiwa berdasarkan maklumat tepat dan adalah menjadi satu kesalahan jika beliau melanggar Kod Etika Kewartawanan dengan mendapatkan berita tidak tepat.
Pensyarah Kewartawanan Fakulti Komunikasi dan Pengajian Media Universiti Teknologi MARA (UiTM) Fadzillah Aishah Ismail berkata penularan berita tidak sahih atau palsu boleh mencetuskan 'malapetaka baharu' sekiranya tidak dibendung serta memberi tempias negatif kepada semua pengamal dan syarikat media.
Mengambil contoh penerbitan artikel di beberapa portal berita mengenai kedudukan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim sebagai antara pemimpin terkaya di dunia tanpa bersandarkan sumber kredibel dan sahih, beliau berkata ia dikhuatiri mempunyai agenda serta niat tertentu yang bertujuan merosakkan reputasi pemimpin itu.
"Sekiranya wartawan itu menggunakan sumber tidak sahih, ia boleh menyebabkan pembaca hilang kepercayaan kepada penulis dan kredibiliti portal berita tersebut akan terjejas untuk suatu jangka masa yang panjang. Selepas ini, walaupun berita yang ditulis memetik sumber yang sahih, pembaca tetap berasa ragu-ragu dengan penulisan itu.
“Memburukkan lagi keadaan, musuh-musuh politik akan ambil ruang ini, jejaskan imej beliau dan semai kebencian masyarakat terhadap Perdana Menteri," katanya kepada Bernama hari ini.
Mengulas lanjut, Fadzillah Aishah berkata dari sudut perundangan pula, penerbitan berita tidak sahih memberikan reputasi buruk terhadap Perdana Menteri dan pihak yang terjejas boleh memfailkan tindakan undang-undang terhadap wartawan atau syarikat terbabit.
"Lazimnya, antara faktor isu sebegini terjadi adalah disebabkan wartawan ini tiada pengalaman dan tidak dapat membezakan antara memetik sumber sahih atau tidak kerana masing-masing berlumba ingin menjadi media pertama mengeluarkan berita sensasi di platform digital. Jadi, bila mereka nampak info sebegini, mereka teruja dan ambil berita itu tanpa sebarang kepastian.
"Satu lagi mungkin wartawan itu tiada akses atau sumber lain yang lebih relevan. Pada saya, tidak sepatutnya berita sedemikian ditulis berdasarkan satu sumber sahaja. Periksa sekali lagi fakta dengan pegawai media atau Pejabat Perdana Menteri atau sumber yang sah," katanya.
Pensyarah Pusat Perdana Fakulti Sains Sosial dan Kemanusiaan Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Profesor Madya Dr Mazlan Ali pula menyifatkan berita sedemikian mempunyai agenda tertentu untuk mencari sensasi atau bertujuan mencalarkan kredibiliti Perdana Menteri semata-mata.
Beliau berkata isu Perdana Menteri tersenarai di kedudukan ke-17 daripada 18 pemimpin terkaya di dunia adalah tidak berasas kerana ramai pemimpin atau ahli politik di negara ini yang lebih kaya namun tidak mengisytiharkan harta mereka.
Mazlan berkata maklumat itu diambil berdasarkan laporan berita pada November 2022 semasa Anwar, yang juga Pesiden PKR, mengisytiharkan aset bersih miliknya.
"Kalau kita lihat rekod prestasi Anwar, sehingga beliau menjadi Perdana Menteri pun beliau tidak pernah disabitkan isu berkaitan integriti, isu mengkayakan diri sendiri.
"Kalau betul isu itu ada, mengapa tiada sebarang pertuduhan malah dia dah lama menjadi Menteri Kabinet dan punyai gaji Ahli Parlimen.
"Bagi saya, artikel itu memetik dari sumber lama dan (berdasarkan) nilai itu, Anwar bukan dikategori (sebagai) orang kaya tetapi isteri beliau pernah menjadi doktor dan sudah pastinya ada pendapatan, aset yang dibeli dahulu pada masa sekarang pasti akan meningkat naik," katanya.
-- BERNAMA
BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).
Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial