AM

MADA Pantau Kenaikan Paras Sungai Utama, Elak Kesan Buruk Di Kawasan Muda

29/11/2024 12:46 PM

ALOR SETAR, 29 Nov (Bernama) -- Lembaga Kemajuan Pertanian Muda (MADA) telah mengambil beberapa tindakan awal berikutan hujan berterusan di kawasan Muda bermula sejak Selasa lepas.

MADA dalam kenyataan hari ini memaklumkan pemantauan paras air dan aliran sungai telah dimulakan sebaik sahaja turunan hujan berterusan dan peningkatan paras air sungai utama dikesan.

“Keadaan hujan berterusan ini menyebabkan aliran sungai di Kuala Nerang mula meningkat ke paras berjaga-jaga iaitu pada 16.21 meter pada 11 pagi Rabu dan mencecah paras bahaya 17.44 meter pada 3 petang hari yang sama.

“Paras air di Kuala Nerang menunjukkan tren meningkat iaitu 19.65 meter pada 8 pagi, 28 Nov. Sementara itu, rekod paras air pada 28 Nov bagi Sungai Bata, Sungai Pendang dan Sungai Arau pula masing-masing masih berada pada paras bahaya dan menunjukkan tren meningkat,” katanya.

Bagaimanapun, MADA telah mengambil tindakan awal untuk menyalurkan air lebihan itu melalui infrastruktur pengairan dan saliran sedia ada sejak 26 Nov lepas.

"Tindakan ini dilaksanakan melalui sistem Lana Bulu, Sistem Alor Changileh, Terusan Tengah dan Selatan. Operasi saliran melalui struktur Pelubang Barrage di Kampung Kepala Batu bermula pada Rabu bagi mempercepatkan aliran daripada Sungai Padang Terap.

"Kesemua lapan pintu Tandop Pasang Surut Sungai Kedah, Ampang Jajar dibuka dan hanya ditutup apabila berlaku kenaikan aras laut," katanya.

Menurut MADA, kedudukan semasa paras Empangan Pedu adalah sebanyak 65.43 peratus, Empangan Muda (126.80 peratus) dan Empangan Ahning (98.16 peratus).

MADA juga telah mengambil tindakan menutup pelepasan air dari empangan berikutan turunan hujan menyeluruh di kawasan dataran MADA pada Selasa.

"MADA turut mengoperasikan bilik gerakan banjir di peringkat Ibu Pejabat dan Pejabat Wilayah bermula Rabu untuk memantau paras sungai utama di kawasan Muda, selain terus memantau takungan empangan, turunan hujan, dan paras air melalui sistem maklumat pengurusan air," menurut kenyataan itu.

-- BERNAMA

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan