AM

Banjir: Tujuh LRA Di Kedah Dihenti Tugas

30/11/2024 01:19 AM

ALOR SETAR, 29 Nov (Bernama) -- Sebanyak tujuh loji rawatan air (LRA) Syarikat Air Darul Aman Sdn Bhd (SADA) terpaksa dihenti tugas berikutan peningkatan paras sungai ke tahap kritikal di muka sauk.

Kenyataan SADA malam ini memaklumkan keadaan itu berpunca daripada hujan yang berterusan sejak beberapa hari lepas.

Menurut SADA, henti tugas LRA terbabit telah menyebabkan berlakunya gangguan bekalan air tidak berjadual di sebahagian kawasan di daerah Padang Terap, Pendang, Kuala Muda, Sik dan Baling.

“Antara yang terkesan setakat 7 malam ini ialah LRA Lubuk Merbau, LRA Jeniang Baru, LRA Jeniang Lama, LRA Jeneri, LRA Nami, LRA Teloi Kanan dan LRA Sungai Limau manakala LRA utama seperti LRA Pelubang, LRA Bukit Pinang, LRA Sungai Petani/Pinang Tunggal masih beroperasi pada tahap optimum ketika ini,” katanya.

Bagaimanapun, pemantauan berterusan SADA di muka sauk LRA terbabit mendapati berlaku trend peningkatan pada paras sungai.

SADA memaklumkan ia telah menggerakkan lori tangki air ke kawasan terjejas dengan keutamaan kepada premis kritikal seperti pusat pemindahan sementara, hospital, klinik, pusat dialisis dan upacara pengebumian. 

Menurut kenyataan itu, bantuan bekalan air alternatif melalui tiga lokasi Pusat Agihan Bantuan (PAB) turut diaktifkan iaitu di Masjid Muhammad Kampung Pulau Tengah dan Sekolah Menengah Kebangsaan Sungai Tiang di daerah Pendang serta Masjid Felda Lubuk Merbau di daerah Padang Terap.

Menurut SADA, jangkaan bagi LRA-LRA terkesan untuk beroperasi semula belum dapat dipastikan buat masa ini kerana paras air masih di tahap kritikal dan hampir menenggelamkan aset mekanikal serta elektrikal di LRA terbabit.

SADA turut menasihati pengguna di kawasan lain agar melakukan persediaan awal dengan membuat takungan bekalan air bagi kegunaan selama dua hari dan menggunakannya secara berhemah.

“Maklumat berkenaan gangguan bekalan air ini akan dimaklumkan dari semasa ke semasa menerusi platform media sosial dan laman sesawang rasmi SADA di sada.com.my atau hubungi i-SADA di talian 1300-88-0017,” katanya.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan