AM

29 Usahawan Asnaf Akan Terima Manfaat Geran Perniagaan RM435,000 - SME Corp

30/11/2024 09:16 AM

ALOR GAJAH, 29 Nov (Bernama) -- Sebanyak 29 usahawan asnaf berdaftar dengan Majlis Agama Islam Melaka (MAIM) akan menerima manfaat geran perniagaan bernilai RM435,000 di bawah Program Tunas Perintis Usahawan.

Ketua Pegawai Eksekutif SME Corporation Malaysia (SME Corp) Rizal Nainy berkata program itu dibentuk menerusi kerjasama strategik antara SME Corp, agensi Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), serta MAIM.

“Bagi peserta yang berjaya membentangkan rancangan perniagaan, mereka layak menerima bantuan Geran Permulaan Perniagaan (dengan nilai maksimum) RM15,000 bagi setiap peserta.

“Seterusnya, semua peserta diwajibkan melaporkan status perniagaan secara berkala bagi memastikan prestasi perniagaan mereka sentiasa dipantau dan ditambah baik dari semasa ke semasa,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Beliau berkata Program Tunas Perintis Usahawan MAIM itu juga merupakan kesinambungan daripada inisiatif yang telah dilaksanakan oleh SME Corp bersama majlis agama yang dilaksanakan sebelum ini.

Inisiatif itu meliputi Program Tunas Usahawan Baitulmal (TUB) bagi Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (MAIWP) dan Program Tunas Usahawan Zakat Pulau Pinang (TUZPP) bagi Majlis Agama Islam Negeri Pulau Pinang (MAINPP). 

"Program TUB dan TUZPP telah melatih 183 usahawan asnaf yang berjaya merekodkan nilai jualan RM6.13 juta keseluruhan bagi kedua-dua program tersebut.

“Program berbentuk latihan direka khas itu bagi memenuhi keperluan peserta asnaf dan diinspirasikan daripada Program Tunas Usahawan Belia Bumiputera (TUBE), program sedia ada di bawah SME Corp yang telah berjaya melahirkan ramai usahawan belia,” katanya.

Beliau berkata sehingga kini, program TUBE telah melatih 8,543 belia melibatkan geran perniagaan bernilai RM125.84 juta.

Pada majlis itu Rizal turut menyampaikan replika cek bagi geran itu, sijil penyertaan serta Anugerah Rancangan Perniagaan Terbaik dan Peserta Terbaik.

-- BERNAMA

 

 

 

 


 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan