AM

Rasuah, Ketirisan Dan Salah Guna Kuasa Ibarat Barah Buat Negara - Sultan Nazrin

30/11/2024 12:20 PM

KUALA LUMPUR, 30 Nov (Bernama) -- Rasuah, ketirisan, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan pecah amanah ibarat barah yang sedang merosakkan anatomi negara, mengakibatkan rakyat menanggung beban berat, titah Sultan Perak Sultan Nazrin Shah.

Baginda bertitah untuk memurnikan kecelaruan yang dihadapi, sistem pentadbiran, tadbir urus dan tatakelola berasaskan nilai, prinsip, dan amanah perlu dijadikan teras dalam membentuk budaya kerja, menjangkaui batasan kaum dan agama, status sosial dan status ekonomi.

“Ketika ini, amatlah mengaibkan negara dan sangat membimbangkan rakyat jelata, perlakuan-perlakuan rasuah, ketirisan, penyelewengan, penyalahgunaan kuasa dan pecah amanah yang dilaporkan berlaku,” titah baginda pada Sidang Pertama Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya (UM) ke-64, di sini hari ini.

Sultan Nazrin yang juga Canselor UM bertitah tanggungjawab universiti tidak lengkap jika sekadar menghasilkan bilangan graduan yang ramai, sebaliknya universiti juga bertanggungjawab membentuk karakter dan membina jiwa insaniah graduan secara menyeluruh.

Titah baginda aspek yang lebih penting ialah kejayaan universiti memupuk dan menyemai nilai murni dalam diri setiap graduan, agar memiliki kekuatan dalaman dan memahami aspek-aspek etika, moral, akauntabiliti, serta integriti apabila dipertanggungjawabkan dengan amanah.

Istiadat Konvokesyen Universiti Malaya kali ke-64 melibatkan 16 sidang, berlangsung bermula hari ini sehingga 8 Dis.

Seramai 9,253 graduan yang telah memenuhi kriteria akademik, layak dianugerahkan ijazah dan diploma; 598 graduan akan menerima ijazah Doktor Falsafah, 3,079 graduan ijazah Sarjana dan Diploma Pascasiswazah, 4,241 graduan ijazah Sarjana Muda dan 1,335 graduan Diploma Eksekutif dan Diploma.

Universiti Malaya berjaya melonjakkan kedudukan ke tahap 60 universiti terbaik dunia dalam QS World University Rankings 2024, selain menduduki tempat ke-12 di Asia, dan terus unggul sebagai universiti terbaik di Malaysia.

-- BERNAMA

 

 


BERNAMA menyediakan informasi dan berita terkini yang sahih dan komprehensif yang disebarkan melalui Wires BERNAMA; www.bernama.com; BERNAMA TV di saluran Astro 502, unifi TV 631 dan MYTV 121 dan Radio BERNAMA di frekuensi FM93.9 (Lembah Klang), FM107.5 (Johor Bahru), FM107.9 (Kota Kinabalu) dan FM100.9 (Kuching).

Ikuti kami di media sosial :
Facebook : @bernamaofficial, @bernamatv, @bernamaradio
Twitter : @bernama.com, @BernamaTV, @bernamaradio
Instagram : @bernamaofficial, @bernamatvofficial, @bernamaradioofficial
TikTok : @bernamaofficial

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan